31 Januari 2009

Tudung vs Cawat Besi

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi kesempatan untuk saya berkongsi maklumat dengan para pembaca. Selawat & salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat baginda serta mereka yang mengikuti baginda sehingga Hari Kiamat.

Post kali ini saya rasa agak menarik terutama buat pembaca2 wanita yang mungkin merasa memakai tudung itu sebagai satu beban. Buatlah perbandingan dengan cawat besi yang pernah dipakaikan kepada wanita2 Eropah satu ketika dulu. Selamat membaca!

Sumber:http://www.drmaza.com/

Minggu lepas ketika di Prague, Republik Czech saya mengambil peluang berjalan-jalan di kota yang penuh sejarah dan seni itu. Memang menarik Bandar Prague yang penuh dengan bangunan-bangunan lama yang cantik dan indah yang dibina sejak kurun ke sepuluh atau ke sebelas.

Walaupun usia bandar ini sudah sepuluh abad, namun bangunan-bangunan bersejarahnya masih dipelihara. Inilah salah satu keistimewaan yang saya lihat di Barat. Mereka begitu menjaga sekali bangunan-bangunan bersejarah yang begitu banyak di sana-sini.

Bangunan-bangunan bersejarah mereka diizinkan untuk diubahsuai untuk kegunaan semasa di bahagian dalaman, tetapi reka bentuk luaran yang menyimpan kenangan sejarah dikekalkan. Dengan itu bangunan-bangunan tersebut tidak terbiar, tetap terpelihara dan dijaga.

Sejarah mereka yang panjang menyebabkan bangunan bersejarah begitu banyak di setiap kota dan desa. Istana-istana lama yang menyimpan kenangan tentang raja-raja Eropah bertaburan di sana-sini. Walaupun mereka sudah tidak menyimpan institusi beraja mereka, kerana sudah tiada apa keperluan lagi untuk dikekalkan, namun mereka menyimpan bangunan-bangunannya. Ia bahan sejarah untuk dikaji dan dikenang.

Bagi saya, mungkin mereka akan mengenangnya sebagai satu institusi yang menggambarkan bagaimana kezaliman, pembaziran dan penindasan dihalalkan atas nama kuasa, bahkan lebih buruk atas nama agama.

Sebelum kuasa pemerintahan dipisahkan dari agama oleh kebangkitan golongan reformis sekularis, para penguasa di Eropah memerintah atas nama agama. Gereja dan istana itu disepadukan. Tindakan-tindakan istana dianggap mendapat restu Tuhan kerana gereja sentiasa bersama istana. Inilah keburukan jika agama dijadikan alatan untuk kerakusan kuasa pemerintah.

Akhirnya kekejaman pemerintah dianggap kerestuan agama. Kerakusan dan ketamakan akhirnya dipalitkan kepada agama. Pemikiran bahawa agama berada di bawah kuasa pemerintah atau raja adalah pemikiran yang berasal dari Kristian Eropah.

Dalam Islam, agama mengatasi raja atau sultan atau pemerintah. Pemerintah bertanggungjawab membela agama, bukan mengongkong agama. Hukum-hakam agama tidak terikat di bawah kerestuan atau limpah perkenan pemerintah atau raja. Sebaliknya “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

Maka tidak pelik dalam sejarah Islam, para ulama berkata tegas dan berani di hadapan raja atau sultan atau khalifah tentang sesuatu hukum sekalipun tidak mendapat restu istana. Hanya ulama-ulama cari makan sahaja di sepanjang sejarah menjadi alatan atau ‘hamba’ raja atau penguasa.

Di Prague, ada muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan yang digunakan pada kurun pertengahan. Muzeum Of Medieval Torture tersebut menggambarkan betapa tidak berhati perut para pelaksana hukuman tersebut. Antara yang ngeri adalah gergaji yang digunakan untuk mengergaji dari celah kelengkang orang yang di hukum. Juga alatan sula yang menakutkan. Begitu juga sikat besi yang digunakan untuk menyikat jasad mangsa sehingga terpisah antara daging dan tulangnya.

Melihat itu semua mengingatkan saya kepada hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di mana Nabi s.a.w pernah menceritakan peri kesabaran para pejuang agama yang terdahulu. Kerakusan itu nampaknya terus diwarisi oleh zaman pertengahan Eropah. Sabda Nabi s.a.w.:

“Sesungguh di zaman terdahulu, seorang lelaki dibuat lubang untuknya dalam tanah lalu dimasukkannya, lalu dibawa gergaji diletakkan atas kepalanya (digergaji) sehingga terbelah dua. Dia disikat dengan sikat besi sehingga terpisah antara daging dan tulangnya. Namun itu semua tidak membuatnya meninggalkan agamanya”.

Antara yang menarik yang dipamerkan adalah cawat-cawat besi yang dipakaikan kepada isteri-isteri tentera yang pergi berperang menentang tentera Islam di Palestin. Barangkali kerana tidak percayakan kesetiaan isteri-isteri mereka, maka cawat besi berkunci dipakaikan. Ia begitu menyeksa, begitu menyusahkan untuk bergerak, apatah lagi ke tandas. Pada musim sejuk, tidak dibayangkan bagaimana menderitanya wanita-wanita yang dipaksa pakai cawat-cawat tersebut.

Itulah layanan yang diberikan kepada wanita Eropah pada zaman dahulu. Bagi mereka yang begitu mengagungkan pemikiran ‘orang eropah’ tentang wanita, jangan lupa bahawa mereka baru sahaja keluar dari kegelapan lampau yang menzalimi wanita dengan begitu rakus.

Malangnya, mereka memang telah keluar dari kegelapan itu, namun wanita mereka sekarang dimasukkan kegelapan baru di mana harga diri dan maruah menjadi begitu murah. Majalah dan akhbar saban hari menayangkan tubuh-tubuh yang muda dan cantik untuk menarik perhatian ramai demi keuntungan golongan ‘pemodal’ yang hanya memikirkan wang, tanpa menilai kesannya ke atas masyarakat.

Sesetengah golongan ‘liberalis terlajak’ yang mengkritik pakaian yang dipakai oleh wanita muslimah kononnya mengongkong kaum wanita, sepatutnya tahu bahawa tudung dan pakaian yang menutup aurat itu tidak pernah mengganggu wanita beriman. Betapa ramai yang memakai tudung yang sempurna berjaya dalam merebut persaingan kehidupan mereka. Betapa ramai dalam kalangan mereka yang menutup aurat yang sempurna itu mencapai kemuncak kejayaan dalam kerjaya dan rumahtangga.

Jika kebahagiaan dunia yang diburu itu yang menjadi sukatan, tiada sebarang data yang menunjukkan wanita muslimah yang bertudung kurang berjaya daripada yang tidak bertudung. Jika nikmat seks yang hendak diukur, adakah sesiapa yang berani menyatakan wanita bertudung kurang menikmati seks dibandingkan wanita lain?

Janganlah apabila golongan ‘liberalis terlajak’ ini membaca perjuangan reformis Eropah membebaskan kongkongan terhadap wanita mereka, cuba hendak mengutip semuanya. Pakai cawat besi tidak sama dengan pakai tudung kepala. Cawat besi tidak mungkin dilakukan oleh manusia berhati perut, tetapi tudung ada nilai kesopanan dan kesusilaannya. Sehinggakan golongan rahib wanita atau ‘nun’ juga memakai tudung.

Mungkin ada pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang tudung, tetapi nas-nas Islam yang difahami oleh majoriti umat ini sejak dahulu sehingga sekarang menyuruh wanita muslimah agar tidak mendedah tubuh mereka melainkan wajah dan kedua tangannya. Adapun purdah, saya antara yang menganggap ia tidak diwajibkan oleh agama ini. Mungkin ia boleh dianggap mengongkong di zaman ini. Pun begitu, ia masih tidak sama dengan cawat besi para isteri tentera Kristian pada zaman pertengahan.

Sebenarnya Islam telah lama membebaskan wanita dari kegelapan kepada cahaya yang menerangi kehidupan manusia. Malangnya, di sesetengah negara adat istiadat kaum telah mengambil tempat agama. Wanita diwajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh agama. Adat telah mengongkong mereka, seperti mana adat telah mengongkong wanita melayu zaman dahulu dan wanita sesetengah negara Arab di zaman kini.

Kefahaman agama yang sempit juga, sering memangsakan wanita. Demikian di Malaysia, pengurusan agama seperti ‘mahkamah yang bernama syariah’ yang melewatkan kes-kes talak sehingga seseorang wanita terpaksa berkurung nafsu bertahun lamanya adalah cawat besi halimunan yang dipakaikan kepada wanita beriman secara kejam.

24 Januari 2009

Serban:Antara Sunnah & Kebudayaan

Assalamualaikum,
Posting kali ini mungkin akan agak kontroversi memandangkan ramai antara kita telah menganggap serban merupakan sunnah Nabi s.a.w termasuk diri saya sendiri sebelum ini. Jadi,saya bawakan kepada anda 1 artikel yang membahaskan persoalan ini. bacalah dengan hati yang terbuka sebelum membuat apa2 kesimpulan. 'don't jump to conclusion' sebelum anda benar2 memahami apa yang cuba disampaikan.selamat membaca!

Sumber:http://nasirussunnah.wordpress.com/

"Kerana memegang teguh akan prinsip Islam dia rela dipenjara!"

Kerana serban seorang pelajar sekolah Pondok (selepas ini dinamakan dengan istilah pondokius-peringatan:bkn semua,tetapi sebahagian) rela dipenjara 2 hari.

Dia mahu menyatkan kepada dunia, kepada pemimpin, kepada polis dan kepada undang-undang bahawa dia rela mati kerana mempertahankan sunnah Rasulullah - serban di kepala!

Dia beriman bahawa Rasulullah S.A.W telah mewasiatkan kepada umat manusia ketika ajal sedang menjemput baginda,baginda memesan agar umat ini meggigit sunnah kerana akan datang satu hari nanti manusia akan cuba menarik sunnah dari pegangan umat Islam. Sehinggakan kalau digigit dengan incicivus, pasti sunnah itu akan tercabut lantaran kuatnya tarikan manusia yang memusuhi sunnah. Kerana itu Rasul menyuruh kita menggigitnya, dengan kuat, menggunakan gigi geraham, agar nanti bila ditarik pasti sunnah itu tak terlepas.

“Suatu hari setelah solat subuh, Rasulullah saw menasihati dengan satu nasihat yang begitu mendalam, hingga air mata kami pun mengalir dan hati-hati kami pun bergetar, kemudian berkatalah seseorang: “Sungguh ini adalah nasihat orang yang mahu berpisah, lalu apa yang akan engkau pesankan kepada kami wahai Rasulullah saw? ” beliau pun bersabda “Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertaqwa kepada Allah, untuk mendengar dan taat kepada pemimpin, walaupun yang memimpin kalian adalah seorang hamba dari Habasyah , karena sesungguhnya sesiapa diantara kamu yang masih hidup selepas daripada aku, dia akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib atas kalian berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah para khulafa rasyidin (para sahabat) yang mendapat petunjuk, gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham kalian (pegang erat-erat jangan sampai terlepas), dan berhati-hatilah kalian dari perkara-perkara baru yang diada-adakan dalam agama ini (bid’ah), karena setiap bid’ah adalah kesesatan.” ( HR Abu Dawud dan At-Tirmidzi.At-Tirmidzi berkata hadits ini Hasan shahih)

Dia mahu mengamalkan hadith tersebut lalu dia memakai serban dan dia rela untuk dijatuhkan hukuman hanya kerana serban.

Sungguh dia di puncak keimanan!

Kemudian para pondokius pun berkata:

“Lihat, kenapa penganut Gurdwara Sahib boleh memakai serban dan dibenarkan menunggang motorsikal tanpa disaman, walhal saudara kami yang sanggup untuk menuntut ilmu agama di sekolah pondok disaman dan didenda!

Ini tidak adil malah undang-undang negara ini tidak menyebelahi agama Islam yang dikatakan sebagai agma rasmi!

Lalu adakah ini bukti Malaysia sebuah negara Islam sedangkan aturan Islam ditentang dan dizalimi?

Ibarat kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.Islam ditentang dan agama Sikh diberi laluan”

Kemudian dia tersenyum ketika dia di “escort” ke lokap. Sebuah senyuman “kemenangan” walaupun Islam makin tertindas di bumi Malaysia. Sebuah isyarat bahawa manusia Muslim harus memperjuangkan Islam walau dikenakan hukuman! Islam adalah kehidupan yang sempurna! - ini pesanan pada sebuah senyuman.

Saya tidak tahu, apakah akan ada siri demonstrasi oleh para pondokius, tapi saya yakin isu ini akan menjadi modal para penceramah agama untuk menentang kerajaan Muslim Malaysia.

Menurut pihak polis; pemakaian serban itu boleh mengancam nyawa ketika menunggang motosikal jika penunggang atau pemboncengnya terhumban jatuh.

Sebaliknya topi keledar itu mampu menyelamatkan otak dan kepala kita dari berkecai, kerana hentakan ketika kemalangan boleh menghancurkan kepala kita, rempuhan itu seperti dikenakan tekanan seberat 80 kg.

Polis tidak pernah melarang orang tua yang telah ke Mekah, atau guru agama, kerana mereka ini selalunya membawa motor seperti siput; dengan hati-hati, atau kadang-kadang rabun yang memaksa mereka memperlahankan kelajuan.

Begitu juga polis tak pernah menangkap pak haji yang memakai serban di dalam sebuah kereta. Atau bas. atau lori. atau kapal terbang.

Jauh sekali para jemaah solat yang sedang bersantai atau bersolat di masjid!

Yang polis lakukan hanyalah melarang selain dari pak haji,, guru agama, ustaz, dari memakai serban - kerna ia mengancam nyawa kepada penunggangnya!

Lalu apakah wajar polis dan kerajan dikatakan menentang Agama Islam dan memberikan kelebihan kepada penganut agama lain?

Saya fikir ini adalah fikiran dangkal dari para pondokius. Kenapa dikatakan dangkal lantaran pemikiran jenis ini tak ada dasar dan selalu bersimpang siur. Satu ketika mereka akan menentang sunnah dan pada satu ketika yang lain mereka akan berpegang pada sunnah - walhal ia bukanlah sunnah syariah.

Ini biasa berlaku kepada pondokius lantaran mereka tidak mahu mengimani agama dengan benar. Tidak mahu memahani agama dengan pintu dalil dan pembuktian. Mereka merasa cukup dengan taqlid buta dan sentimen agama. Nenek moyang mereka adalah hujjah kepada mereka! Nenek moyang mereka adalah Nabi yang diutus, dan guru mereka adalah ma’sum!

Kerana itulah bangsa kita ini masih duduk dalam tempurung, kerana minda kelas pertama - minda yang selalu bertanya akan dalil - tak penah dihidupkan dalam pendidikan kehidupan kita.

Sahabat-sahabat;

Persoalannya ada 2 dalam kes “Penjara Serban” ini.

Persoalan Pertama:

Saya mahu bertanya,Apakah kalian setuju bahwa telah tsabit bahawa Rasulullah S.A.W dan para sahabat menunggang unta dalam kehidupan seharian, berperang menaiki unta dan kuda, berdagang dengan unta?

Lalu setujukah kalau saya katakan begini: “Menaiki unta dalam kehidupan seharian adalah sunnah - dapat pahala. Menaiki Unta dan kuda dalam berperang juga sunnah - mendapat pahala dan Insyaallah akan menang. Mungkin kekalahan kita selama ini adalah kerana kita tak menunggang unta dan kuda! Dan adalah sunnah kita menunaikan haji dengan unta!”

Adakah kalian setuju dengan kenyatan saya ini?!

Kenyatan saya ini berasas, lahir dari riwayat yang mutawair tentang Unta! Lantas kenapa kalian mahu menolaknya?

Justeru bila kita amati, kehidupan baginda terbahagi kepada 2, iaitu kehidupan sebagai manusia dan kehidupan sebagai rasul.

Sebagai manusia, Muhammad saw akan berperilaku sebagai manusia lainnya; baginda ada cara jalnnnya, cara mengurus dirinya,mahu makan, ada makanan kegemaran,mahu membeli pakaian & makanan.

Maka dalam hal ini yang bersifat manusia, maka sahabat baginda tak mengikuti baginda kerana mereka semua mengerti akan hakikat kemanusian Muhammad saw. Kerana itulah telah tsabit hadith “Mengacuk kurma” ketika baginda berkata “kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu”. Malah dalam beberapa hadith kita dapati bahawa sahabat bertanyakan kepada bagnda: “Apakah ini wahyu atau pandangan anda semata-mata?”.

Dan sebagai Rasul, baginda menyampaikan perintah Allah dan larangan. Maka dalam hal ini setiap manusia wajib untuk mengikutinya tanpa alasan. Kerana itu Rasulullah bersabda : “Dalam hal Agama, serahkan padaku”.

Inilah yang lebih terangkum dalam hal-hal ubudiyah - jalan menghambakan diri kepada Tuhan, yang dimulai dengan aqidah ; keimanan tentang Tuhan dan segala hal-hal ghaib, kenabian, kitab-kitab, malaikat dan semua yang berkaitan.

Lalu kepada manusia, tak ada ruang bagi kita untuk menambah, mengurang atau menafikan hal-hal ini!

Dan hal inilah yang Baginda wasiatkan untuk digigit dengan gigi geraham!

Kerana itulah dalam hal serban ini, menunjukkan bahwa tiada satu pun dalil yang sah menunjukkan bahwa serban termasuk dalam bahagian agama!

Yang nyata bahwa serban adalah pakaian bangsa arab, dan Muhammad saw secara pasti adalah seorang Arab. Lalu baginda memakai pakaian kebiasan bangsanya!

Lalu kita minta kepada pondokius untuk membawakan sebuah hadith yang tarafnya sah tentang galakkan memakai serban!

Kalau sekadar membawakan sejumlah hadith yang palsu dan lemah, lalu ada yang membuat kesimpulan”Walau palsu dan dhaif, namun maknanya mutawatir sudah boleh digunakan”.

Saya mahu bertanya; “Kaedah disiplin ilmu hadith manakah kalian gunakan sehingga mampu menyimpulkan hal tersebut?”

Justeru seandainya tiada hujjah, maka terimalah dengan hati terbuka. Kepada semua manusia, kita janganlah mencaci pakaian orang lain selagi mana ia memenuhi tuntutan agama, tambahan pula pakaian Rasulullah saw.

Maknanya serban adalah satu kebudayaan bukan keagaman. Tetapi kebudayaan boleh diberi pahala jika kita niatkan kepada agama; seperti memakai “baju melayu” lalu kita menbaca doa dan dengan niat untuk menutup aurat, dan digunakan untuk menunaikan solat.

Tuan-tuan Pondokius; boleh mengertikah?

Persoalan Kedua:

Dari sekian banyak sunnah, antara sunnah serban (kalau mereka mengganggap serban sebagai sunnah juga walalupun mereka tak mampu mendapatkan sebuah hadith tentang suruhan dan galakkan serban) dan sunnah aqidah, manakah yang lebih tinggi dan harus dipertahankan?

Semua manusia yang Islamik suka memakai serban, hatta seorang yang beriman tuhan itu berpindah randah dari 1 jasad ke jasad yang lain!

Lalu, dari segi logik, malah sebenarnya dari segi petunjuk yang telah Rasul berikan, yang berupa sunnah, adalah menegakkan aqidah dahulu, menggigit sunnah aqidah dengan kuat terlebih dahulu. Bukan sunnah serban, yasinan, maulidan, bubur asyura, tahlilan dan banyak lagi yang sebenarnya bukan sunnah tapi melanggar sunnah!

Inilah sunnah yang hakiki dan terbesar, sebuah sunnah yang terabai; membersihkan manusia dari keyakinan-keyakinan songsang dan mengisi jiwa mereka dengan keimanan yang shahih! Inilah tugas utama Rasulullah saw dan seluruh Rasul dan nabi!

“Dan sesungguhnya Kami mengutus kepada setiap umat seorang rasul; Hendaklah kalian menyembah Allah dan menjauhi thaghut” (an Nahl 36)

Maka, kita mahu bertanya kepada pondokius yang sering memakai serban dengan keyakinan “ini adalah sunnah, dan harus dipertahankan”; “Apakh kalian telah membersihkan keyakinan kalian dari kesyirikan, kekhurafatan, kebid’ahan?’

“Dan apakah kalian juga setelah itu menyeru dan menyebarkan aqidah yang shahih dikalangan masyarakat”

Lantas kita juga mahu bertanya, berdasarkan hadits wasiat nabi saw tadi: “Apakah kalian telah menghapuskan segala bid’ah ibadah yang kalian ciptakan sebelum ini, dan kembali mengamalkan cara-cara ibadah yang nabi tunjukkan - persis - tak bertambah dan berkurang?”

Jika sudah….tidak ada perkataan yang lebih patut melainkan Alhamdulillah!!

Yang peliknya mereka begitu bersemangat untuk mempertahankan sesuatu yang bukan bahagian dari agama dan bersemangat pula menentang golongan yang mahu mengajak mereka kepada berpegang teguh kepada sunnah Muhammad saw yang asli.

Dan kita juga meminta pondokius untuk tidak mencela Polis dan kerajan. Ini bukannya sunnah Muhammad saw, melainkan sunnah khawarij yang lahir dari pemikiran “adil” Dzul Khuraishi ketika dia menempelak Muhammad saw: “Berlaku adillah Muhammad” ketika dia berasa Nabi Muhammad saw tidak adil dalam pembahagian harta rampasan perang

Polis dan Kerajaan tidak bersalah, malah mereka mahukan umat Islam selamat dari kemalangan jaln raya. Kerana itulah mereka mewajibkan kita memakai topi keledar, dan membiarkan Sikh. Paham-paham laa sket…

Justeru kalau tuan-tuan pondokius merasakan tuna-tuan lebih mengerti akan agama, lebih memahami nas dari baginda, lebih berfikiran waras dari sahabat maka kalian lebih layak mendapat Wahyu. Maka lebih baik kalian yang jadi Nabi. Berdoalah kepada Tuhan agar kalian menjadi Rasul Melayu. Walhal beberapa pegangan agama kalian adalah dari kaum mu’tazilah dan kaum sesat lain yang beriman bahawa Kerasulan ini mampu dicapai melalui keazaman beribadah!

Kerana kalian lebih bagus dalam hal agama berbanding Muhammad saw, Si Arab Quraiys!

Mungkin bunyinya agak kasar,tetapi inilah reality masyarakat Malaysia hari ini.

Di mana akidah kita?

Apakah perjuangan kita?

19 Januari 2009

Seputar Tentang Hadis

Assalamualaikum,
Terima kasih kepada teman2 yang sudi menjenguk ke blog ini. lama benar saya tidak meng'update' entry2 untuk blog ini. asalnya blog ini sekadar mengumpulkan entry2 dari mereka2 yang sudi berkongsi ilmu dengan masyarakat. mungkin ada sebahagian entry sebelum ini agak berat untuk mereka yang baru ingin mendalami ilmu agama. di sini saya bawakan 1 entry yang saya kira menarik untuk dikongsi bersama. entry ini hasil tulisan seorang sahabat.selamat belajar!

Sumber:http://blueincisivus.wordpress.com/


“HADITS ni hadits dha’if ke mutawatir?”


Terdiam seribu bahasa mendengarkan pertanyaan seperti ini dilontarkan.. Hadits dha’if ke hadits mutawatir? Kenapa pula kedua-dua istilah ini digandingkan bersama, seakan-akan kedua-duanya berada dalam satu kategori yang sama? Pertanyaan yang cukup aneh, tetapi cukup untuk menyedarkan saya mengenai realiti umat Islam hari ini.. Ternyata masih ramai umat Islam hari ini yang belum terbiasa dengan istilah-istilah seperti ini..


Saya juga begitu, suatu ketika dahulu.. Tetapi alhamdulillah, Allah telah memudahkan jalan bagi saya untuk mengenal istilah-istilah ini.. Walau pun masih banyak yang tidak saya ketahui mengenai ilmu hadits, namun pengetahuan yang saya peroleh sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini sedikit sebanyak membantu saya untuk memahami perbahasan mengenai hadits.. Saya rasa mungkin ada baiknya sekiranya saya menjelaskan beberapa perkara mengenai pertanyaan di atas, yang ditanyakan oleh salah seorang teman..


Pertama, saya ingin menjelaskan mengenai kategori-kategori hadits.. Ada pun kedua-dua istilah di atas (iaitu hadits dha’if dan hadits mutawatir) sebenarnya tidak berada dalam satu kategori yang sama.. Di bawah saya bawakan satu contoh.. Sekiranya dikumpulkan semua pelajar lelaki di dalam sebuah kelas, kita boleh mengelompokkan mereka dalam beberapa kategori.. Kategori pertama adalah berdasarkan negeri asal pelajar-pelajar tersebut: Kelantan, Selangor, Kedah, Perak, Terengganu, Perlis, Sarawak, dll.. Kategori kedua pula berdasarkan bulan mereka dilahirkan: Muharram, Rajab, Ramadhan, Syawal, dll.. Kategori ketiga pula berdasarkan makanan kegemaran mereka: nasi kerabu, nasi uduk (BM: nasi lemak), bubur ayam, ketoprak, pempek, bakso, dll..


Hadits juga dikelaskan menurut kategori-kategori tertentu.. Misalnya, “berdasarkan ramai atau tidaknya perawi yang meriwayatkan hadits tersebut”.. Dalam kategori ini, kita akan mengenal istilah [A.1] “hadits mutawatir” atau [A.2] “hadits ahad”..


[A.1] “Hadits mutawatir” ialah hadits yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang ramai, dan diriwayatkan pula oleh generasi selepasnya dalam jumlah yang ramai, yang menurut kebiasaannya mustahil mereka akan berkumpul dan bersepakat untuk berdusta.. Sesetengah ulama’ menetapkan jumlah tersebut seramai 20 orang dan sebahagian yang lainnya menetapkan seramai 40 orang..


[A.2] Ada pun “hadits ahad” ialah hadits yang tidak memenuhi syarat-syarat hadits mutawatir atau tidak memenuhi sebahagian daripada syarat-syarat tersebut.. Hadits ahad dibahagi pula kepada [A.2.1] “hadits gharib”, [A.2.2] “hadits aziz”, dan [A.2.3] “hadits masyhur”..


Saya kira tidak perlu untuk dijelaskan dengan lebih mendalam mengenai pembahagian hadits ahad, kerana tujuan saya menulis kali ini hanyalah untuk menyentuh beberapa persoalan yang saya anggap agak penting.. Kita teruskan dengan kategori yang kedua, iaitu “berdasarkan diterima atau ditolaknya sesuatu hadits”..


Berdasarkan kategori ini, kita akan mengenal pula beberapa istilah, antaranya: [B.1] “hadits maqbul (maqbul bererti yang diterima)” dan [B.2] “hadits mardud (mardud bererti ditolak)”..


[B.1] “Hadits maqbul (diterima)” bermaksud hadits yang diterima untuk menetapkan hukum.. “Hadits maqbul” dibahagi kepada dua: [B.1.1] “hadits shahih” dan [B.1.2] “hadits hasan”..


[B.1.1] “Hadits shahih” ialah hadits yang diyakini bahawa ia benar-benar berasal dari Nabi S.A.W mengikut kajian dan penelitian para ulama’ hadits..


[B.1.2] “Hadits hasan” pula ialah hadits yang diyakini bahawa ia berasal dari Nabi S.A.W tetapi kedudukannya tidak setinggi hadits shahih.. Perbezaan antara hadits shahih dan hadits hasan adalah pada kekuatan hafalan perawi..


[B.2] Ada pun “hadits mardud (ditolak)” bererti hadits yang ditolak untuk dijadikan dasar penetapan hukum.. Hadits mardud terdiri daripada “hadits dha’if”..


“Hadits dha’if” bererti hadits yang tidak memenuhi syarat-syarat hadits shahih lalu menjadikannya tidak dapat dipastikan sama ada hadits ini benar-benar berasal dari Nabi S.A.W atau pun tidak.. Oleh itu, hadits dha’if tidak boleh dijadikan sumber dalam penentuan aqidah mahu pun ibadah.. Hadits dha’if bertingkat-tingkat kedudukannya berdasarkan lemahnya para perawi.. Antara tingkatannya adalah dha’if, dha’if jiddan (dha’if jiddan bererti sangat dha’if, dan kedudukannya adalah lebih rendah daripada hadits dha’if), dan seburuk-buruk tingkatan adalah maudhu’ (palsu)..


“Hadits maudhu’ (palsu)” ialah hadits yang telah dibuktikan tidak berasal dari Nabi S.A.W, tetapi disandarkan pada baginda S.A.W.. Perbahasan mengenai hadits palsu cukup luas, sehinggakan terdapat sebahagian ulama’ yang menjadikan hadits maudhu’ sebagai satu kategori baru dengan membahagikan hadits menjadi empat: [i] shahih, [ii] hasan, [iii] dha’if, dan [iv] maudhu’ (menurut pembahagian ini, hadits maudhu’ tidak diletakkan di bawah kategori hadits dha’if, tetapi dijadikan satu kategori yang lain)..


Saya rasa cukup sampai di sini dulu entry saya untuk kali ini.. Semoga entry ini dapat memberikan gambaran mengenai istilah-istilah hadits yang biasa berlegar di sekitar kita.. Saya memohon maaf atas kekurangan, dan saya memohon anda untuk memaklumkan kepada saya sekiranya terdapat sebarang kesalahan dalam mana-mana entry saya yang ini.. Terima kasih saya ucapkan atas waktu yang anda luangkan untuk membaca entry ini.. Wallahu a’lam..