04 Februari 2009

Hajat & Solat Hajat : Perlu Ke Pak Imam?

Kerapkali terjadi apabila menjelang musim peperiksaan, ibubapa mula sibuk menjemput pak imam untuk datang solat hajat dan membacakan doa selamat untuk anak mereka. Ini merupakan senario yang biasa kita lihat dalam masyarakat kita. Begitu juga apabila rumah baru disiapkan, membeli kereta baru dan apa sahaja yang baru pasti akan diadakan solat hajat. Pendek kata, pak imam dan tok lebai akan bersiap sedia untuk berkhidmat kepada sesiapa sahaja yang menjemput mereka untuk sembahyang hajat.


Dari satu aspek ia menggambarkan satu perkara yang positif tetapi dari sudut lain ada banyak perkara yang tidak kena. Jika diselidiki, fenomena sebegini tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Jika ada, pasti ada riwayat yang menyebutkan tentangnya. Apakah mereka tidak mempunyai apa-apa hajat? Adakah mereka tidak membeli kenderaan baru? Apakah tidak ada rumah yang baru dibina di zaman mereka? Soalan-soalan seperti ini tentunya sudahpun dimaklumi jawapannya dan ini bermakna mereka sekali-kali tidak mengadakan sembahyang hajat seperti yang dibudayakan oleh masyarakat kita. Bagaimanapun, kita tidak pernah mendakwa mereka tidak berdoa atau bersembahyang apabila ditimpa sesuatu perkara. Berdoa dan memanggil orang lain untuk solat hajat adalah dua perkara yang berlainan.


Tentang sembahyang apabila berlaku sesuatu perkara menimpa terdapat firman Allah s.w.t.:



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan sembahyang. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar. (Al-Baqarah: 153)

Berkenaan dengan sembahyang hajat ada sebuah hadis yang dikemukakan oleh al-Tirmizi:

عَن فَائدِ بنِ عَبدِ الرَّحْمَنِ بن عَبدِ الله بنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - "مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى الله حَاجَةٌ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَليَتَوَضَّأُ وَليُحْسِنْ الوُضُوءَ ثُمَّ لِيصَلِّ ركعَتينِ ثُمَّ ليُثْنِ عَلَى الله وَليُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لِيَقُلْ: لا إِلَهَ إِلاَّ الله الحَلِيمُ الكَريمُ، سُبحَانَ رَبِّ العَرشِ العَظيمِ الحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالمِينِ، أَسأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحمَتِكَ وَعَزَائمَ مَغفِرَتِكَ وَالغَنيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لا تَدَعْ لي ذَنباً إِلاَّ غَفَرْتَهْ وَلا هَمَّاً إِلاَّ فَرَّجْتَهْ، وَلا حَاجةً هِيَ لَكَ رِضاً إِلاَّ قَضَيتَهَا يَا أَرحَمَ الرَّاحمينَ".

قَالَ أَبُو عِيسَى: هَذَا حَدِيثٌ غريبٌ في إِسْنَادِهِ مُقَالٌ. فَائدُ بنِ عَبدِ الرَّحْمَنِ يُضَعِّفُ في الحديثِ. وَفَائِدُ هُوَ أَبُو الوَرْقَاءِ.

Diriwayatkan daripada Fa`id bin Abdul Rahman bin Abdillah bin Abi Aufa, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada sesiapa dari kalangan anak Adam maka hendaklah dia berwuduk dengan sempurna kemudian bersembahyang. Setelah itu pujilah Allah dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. dan ucapkanlah:

لا إِلَهَ إِلاَّ الله الحَلِيمُ الكَريمُ، سُبحَانَ رَبِّ العَرشِ العَظيمِ الحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالمِينِ، أَسأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحمَتِكَ وَعَزَائمَ مَغفِرَتِكَ وَالغَنيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لا تَدَعْ لي ذَنباً إِلاَّ غَفَرْتَهْ وَلا هَمَّاً إِلاَّ فَرَّجْتَهْ، وَلا حَاجةً هِيَ لَكَ رِضاً إِلاَّ قَضَيتَهَا يَا أَرحَمَ الرَّاحمينَ".

Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Penyantun lagi Maha Pemurah. Maha Suci Tuhan arasy yang agung, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Aku memohon penyebab-penyebab kepada rahmat-Mu, kepastian-kepastian kepada pengampunan-Mu, kekayaan dari semua kebajikan, kesejahteraan dari semua dosa, janganlah Engkau tinggal untukku satu dosapun melainkan Engkau ampunkanlah, tidak ada kegundahan melainkan Engkau lepaskanlah, tidak ada hajat yang Engkau redhai melainkan Engkau tunaikan, wahai Yang Maha Penyayang.

Bagaimanapun riwayat ini daif kerana ada perawi yang dipertikaikan. Jika diandaikan sahihpun, ia tidak dapat menyokong amalan yang berlaku di dalam masyarakat kita iaitu dengan menjemput sekumpulan orang untuk solat hajat berjemaah beramai-ramai. Hadis ini hanya menyebutkan untuk individu sahaja tanpa dinyatakan perlu mengajak orang lain berjema`ah bersamanya. Sebaiknya seseorang itu hendaklah bersembahyang pada waktu-waktu yang ada ketenangan untuk bermunajat ke hadrat Ilahi seperti waktu dinihari sebelum subuh. Apakah tersangat sukar untuk kita bangun sedangkan orang masih lagi nyenyak tidur. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Tuhan kita yang Maha Tinggi dan Agung turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam. Dia berfirman, adakah sesiapa yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti memperkenan untuknya, adakah sesiapa yang meminta dari-Ku? Aku pasti berikan kepadanya dan adakah sesiapa yang meminta keampunan dari-Ku? Aku pasti mengampuninya. (Sahih Muslim)

Betapa Maha Pemurahnya Allah s.w.t. namun ramai di antara kita yang mengabaikannya. Inilah waktu yang sebaik-baiknya kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan bermunajat kepadanya-Nya.

Sesetengah pihak mendakwa sahabat pernah mengajak Rasulullah s.a.w. datang sembahyang hajat di rumahnya berdalilkan hadis ini:



عن أنس بن مالك: أن جدته مليكة دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال (قوموا فلأصلي بكم). فقمت إلى حصير لنا قد اسود من طول ما لبس، فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين.

“Daripada Anas bin Malik, katanya: “Neneknya, Mulaikah telah menjemput Rasulullah s.a.w. untuk makan makanan yang disediakannya. Lalu Rasulullah s.a.w. makan sebahagian darinya kemudian bersabda: “Bangunlah! Saya akan mengimamkan sembahyang kamu. Lalu saya mendapatkan sekeping tikar kami yang berwarna hitam kerana sudah lama digunakan, kemudian saya merenjiskannya dengan air. Rasulullah s.a.w. berdiri, seorang anak yatim berdiri bersama saya dan nenek pula di belakang kami. Baginda bersembahyang mengimami kami sebanyak dua rakaat.” (Sahih al-Bukhari)

Hadis tersebut sebenarnya tidak jelas d menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. datang untuk sembahyang hajat. Tujuan kedatangan baginda s.a.w ialah untuk memenuhi jemputan nenek Anas manakala sembahyang baginda itu sebagai doa agar diberikan keberkatan kepada ahli rumah itu. Ada juga ulamak yang menjelaskan bahawa sebab Rasulullah s.a.w. bersembahyang di rumah itu ialah kerana tuannya mahu baginda menentukan salah satu dari bahagian rumah itu sebagai tempat sembahyang yang khusus (musalla) dan mereka ingin mendapatkan keberkatan daripada baginda s.a.w. dan bukannya nenek Anas mempunyai hajat tertentu sehingga beliau meminta Rasulullah s.a.w. datang sembahyang hajat untuknya.

Apabila tidak jelas maka kita tidak boleh berdalil dengan hadis ini untuk menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w sendiri mengadakan sembahyang hajat di rumah sahabat.

Kemungkinan mereka yang selalu menjemput dan meminta orang lain sembahyang hajat tidak mempunyai keimanan yang mantap. Apabila tidak yakin pada diri sendiri mereka mencari-cari orang dirasakannya warak supaya menjadi wakil baginya. Ini menunjukkan lemahnya iman kita atau kita tidak yakin akan kemurahan Allah s.w.t.

عَن أَبي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَليْهِ وسَلَّم: - "ادعوا اللَّهَ وأنتمْ موقنونَ بالإجابةِ، واعلموا أنَّ اللَّهَ لا يستجيبُ دعاءَ مِنْ قلبٍ غافلٍ لاهٍ".

Daripada Abu Hurairah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah! Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menerima doa yang lahir dari hati yang lalai dan alpa”. (hadis al-Tirmizi)

عن أبي هريرة قال:" قال رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم: "ان اللّه تعإلى يقول: أنا عند ظن عبدي بي وأنا معه إذا دعاني".هذا حديث حسن صحيح.

Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman: “Sesungguhnya Aku mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku bersamanya apabila dia memanggilKu. (hadis al-Tirmizi)

Jika tidak yakin denganNya tentulah doa kita tidak akan diperkenankan lantaran buruknya sangkaan kita terhadap Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t memberi hidayat kepada kita semua.

Jika kita yakin bahawa Allah s.w.t. akan memaqbulkan doa kita mengapa pula kita meragui kekuatan iman sendiri. Agaknya kita tidak cukup soleh untuk berdoa terus kepada Allah sehingga memaksa kita menjadikan para lebai sebagai perantaraan. Seolah-olah kita belum boleh berdikari dalam soal keimanan. Sesiapa sahaja berhak dan diberi peluang untuk meningkatkan iman dan taqwa. Allah s.w.t. berfirman:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. (al-Nahl: 97)

Ketaqwaan dan keikhlasan wajib dibina sendiri oleh setiap individu kerana ia bukanlah fardhu kifayah. Soal kekuatan niat dan kesolehan mesti difahami dengan jelas oleh ummat Islam. Mengapa pula hajat sendiri atau keluarga perlu kepada pertolongan orang lain sehingga memaksa kita menjemput para imam datang bersembahyang hajat di rumah sendiri. Nampaknya jawatan dan tugas imam ditambah lagi iaitu menjadi imam di rumah ahli mukimnya. Satu kesilapan besar telah kita lakukan iaitu menyibukkan imam dengan bukan tugas yang sepatutnya. Inilah yang dikatakan sebagai tenaga agama yang terbiar dan tidak dijanakan sepenuhnya.

Tugas utama imam ialah membimbing masyarakat dan mengetuai ahli mukimnya. Keilmuan dan kemahiran imam perlu dimanfaatkan dengan diadakan majlis ilmu, perbincangan ilmiah, kursus pembinaan diri dan masyarakat atau mana-mana program yang manfaatnya itu merujuk kepada masyarakat amnya. Mengapa tidak sesuatu masalah dalaman atau hajat peribadi diselesaikan sendiri oleh keluarga itu dengan solat hajat di kalangan mereka sahaja. Biarlah imam dan para ustaz menjalankan kewajipan mereka yang sepadan dengan tanggungjawab mereka.

Atas dasar itu, tidak perlu kepada mana-mana individu untuk mengadakan sembahyang hajat untuk keperluan diri sendiri atau keluarga dengan memanggil orang lain. Memadailah dengan melakukannya sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Orang yang mempunyai hajat itulah yang lebih memahami masalahnya sendiri dan dialah yang paling ihklas dalam berdoa. Apa ertinya menjemput orang-orang tertentu lalu menghabiskan wang ringgit dengan memberi upah dan menyediakan jamuan sedangkan mereka tidaklah menghadapi masalah yang kita hadapi. Bagaimana mungkin dapat kita tentukan yang mereka itu ikhlas berdoa untuk kita.

Tidak ada jalan lain bagi kita selain dari kembali kepada ajaran Rasulullah s.a.w. iaitu berdoa sendiri dengan bangun di tengah malam. Menadah tangan berdoa kepada Allah s.w.t dengan penuh tawadu` dan pengharapan. Itulah yang sebaik-baiknya menurut penghayatan para sahabat yang telah dididik oleh Rasulullah s.a.w.

و الله أعلم بالصواب

1 ulasan:

Hilmi Mahmud berkata...

salam.. aku xtau sama ada ini tulisan dan penddapat ko.. tapi, aku berpegang kepada ulama2 yg terbukti ketokohan mereka, dan terbukti ilmunya...


Jumhur fuqaha mengatakan solat hajat secara berjamaah adalah sunah. Fatwa ini dikeluarkan didalam islamonline:

فصلاة الحاجة وغيرها من النوافل تجوز في جماعة وفرادى عند جمهور الفقهاء ،
وتكره جماعة عند الحنفية إذا آانت على سبيل التواتر والمواظبة , وعند المالكية إذا
آثرت الجماعة أو اشتهر المكان آرهت الجماعة حذر الرياء


Terjemahan secara ringkas: Dikatakan bahawa solat hajat dan solat nawafil menurut jumhur Fuqaha adalah sunat dilakukan secara jamaah.. Manakala menurut imam Hanafi, solat hajat adalah makruh jika dilakukan secara berturutan dan berterusan. Manakala Imam Malik memakruhkannya jika solat hajat dilakukan dengan ramai orang, dengan alasan ditakuti timbulnya riya’.

Imam Nawawi dalam Kitabnya Al-Azkar turut berkata bahawa solat hajat adalah sunat.

Para ulama’ mengharuskan solat hajat ini berdasarkan sebuah hadith dari,
'Uthman bin Hunaif ra, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya.” Rasulullah SAW bersabda, “jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah!” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhu' dengan elok lalu bersolat dua raka'at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi'hu fiya” (HR Tirmidzi. Beliau mengklasifikasikan hadith ini sebagai Hassan Sahih Gharib. Selain itu, ia juga diriwayatkan oleh An-Nasai’,Ibnu Majah, dan Ibn Kuzaimah dalam sahihnya. Al-Hakim berkata : Hadith ini sahih menurut syarat Imam Bukhari dan Muslim. Tetapi dalam riwayat al-tirmdizi tidak ada lafaz (summa solah rak’atain). Disahihkan oleh al-Albani dalam kitab sahih al-taghrib wa al-tarhib)

Saya sertakan juga beberapa kitab dari 4 Mazhab yang ada mengutarakan solat hajat ini.
1. Mughnil Muhtaj, juz 1, hal.225 – Mazhab al-Syafi'i
2. Hasyiah Ibnu Abidin, juz 2, hal. 28 – Mazhab Hanafi
3. Al-Syarhul Kabir, juz 1, hal 314 – Mazhab Maliki
4. Al-Mughni, Ibnu Qudamah, juz 1, hal. 438 – Mazhab Hanbali