23 Ogos 2008

Tuntutan Sunnah dalam bulan Ramadhan(part 1)

Oleh:Ustaz Fadlan Mohd Othman

Setelah melepasi bulan Sya’ban, tibalah masanya untuk seseorang muslim melaksanakan satu ibadah mulia yang merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam yang lima. Di dalam perbincangan mengenai tuntutan sunnah Rasulullah s.a.w. di dalam bulan mulia ini, penekanan akan dibuat berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang sahih sahaja serta kata-kata ulamak yang muktabar, seperti berikut:

1- Apabila melihat anak bulan Ramadhan bacakan:
اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ [1]
Maksudnya: Ya Allah, munculkanlah bulan sabit ini ke atas kami dengan keberkatan, keimanan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.

2- Dirikan Solat sunat al-Tarawih dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ [2]
Maksudnya: Siapa yang bangun Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan akan diampunkan dosanya yang terdahulu.

- Jumlah bilangan solat sunat al-Tarawih yang terbaik ialah 11 raka‘at mengikut bilangan solat Nabi s.a.w.:
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَيْفَ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَقَالَتْ مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي [3]
Maksudnya: Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman bahawa beliau telah bertanya Aisyah r.a. ‘Bagaimanakah solat Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan?’ Beliau menjawab, ‘Baginda tidak pernah menambah dalam bulan Ramadhan dan bulan lain melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat, janaganlah engkau tanya kecantikannya dan panjangnya. Kemudian Baginda solat empat rakaat, janganlah engkau tanya kecantikannya dan panjangnya. Kemudian Baginda solat tiga rakaat.’ Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, adakah engkau tidur sebelum berwitir?’ Jawab Baginda, “Wahai Aisyah, sesungguhnya mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur.”

- Bilangan ini juga telah diarahkan oleh Umar r.a. semasa beliau melantik imam-imam untuk solat Tarawih di zamannya seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik dengan sanad yang sahih daripada alSaib bin Yazid katanya:
أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً ...[4]
Umar telah mengarahkan Ubai bin Ka’b dan Tamim alDari supaya mengimamkan orang ramai sebanyak 11 rakaat...

Di sana ada juga riwayat yang mengatakan bahawa Umar mengumpulkan orang ramai berimamkan Ubai bin Ka’b dan mengarahkannya supaya solat 20 atau 21 rakaat. Akan tetapi riwayat itu adalah lemah dan tidak sabit, sepertimana diterangkan oleh al-Syaikh al-Albani rahimahullah[5].

- Laksanakanlah solat sunat al-Tarawih bersama imam sehingga selesai:
إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ [6]
Maksudnya: Sesungguhnya siapa yang bangun bersama imam sehingga imam itu selesai, Allah menulis untuknya bangun satu malam.

Sekiranya berimamkan imam yang berpendapat bilangan solat Tarawih ialah 23 rakaat, adalah digalakkan supaya menyelesaikan solat bersama imam untuk mendapat ganjaran bangun seluruh malam. Pun begitu jika hendak berhenti setengah jalan, perlulah diingatkan bahawa solat Tarawih adalah sunat hukumnya. Dalam erti kata lain perkara ini adalah dibenarkan.

3- Pastikan berniat untuk melaksanakan puasa Ramadhan pada waktu malam:
مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ [7]
Maksudnya: Siapa yang tidak meniatkan puasa pada waktu malam sebelum fajar, maka tiada puasa baginya.

- Niat tempatnya dalam hati iaitu dengan berdetiknya dalam hati bahawa seseorang itu ingin melakukan sesuatu amalan. Al-Imam al-Nawawi telah berkata:
“Dan niat itu ialah tujuan (al-Qasd). Justeru orang yang sembahyang menghadirkan dalam fikirannya zat solat dan apa-apa yang wajib daripada sifat-sifat solat seperti zuhur, fardhu dan sebagainya. Kemudian dia menuju kenyataan-kenyataan ini dengan tujuan yang seiringan dengan takbir yang pertama. Tidak disyaratkan mengiringkan niat selepas takbir. Akan tetapi disyaratkan tidak mendatangkan perkara yang membatalkannya. Jika dia berniat di pertengahan solat untuk keluar darinya, batal solatnya.”[8]

- Al-Imam al-Suyuti juga telah berkata:
“Daripada bid‘ah (yang sayyiah) itu adalah was-was dalam niat solat. Itu bukan daripada perbuatan Nabi s.a.w. dan para sahabat Baginda. Mereka tidak pernah melafazkan sedikit pun niat solat melainkan (terus) takbir. ”[9]
Rujukan
1] HR al-Tirmizi, Kitab al-Da‘awat (Doa-doa), Bab Ma Yaqul ‘Ind Ru’yat al-Hilal (Apa yang disebut semasa melihat anak bulan), No. 3373. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi No. 3451.
[2] HR al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih (Solat Tarawih), Bab Fadl Man Qam Ramadhan (Kelebihan orang yang bangun Ramadhan), No. 1870. Juga Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha (Solat pengembara-pengembara dan memendekkannya), Bab al-Targhib Fi Qiyam Ramadhan Wa Huwa al-Tarawih (Galakan bangun Ramadhan iaitu Tarawih), No. 1266.
[3] HR al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih (Solat Tarawih), Bab Fadl Man Qam Ramadhan (Kelebihan orang yang bangun Ramadhan), No. 1874. Juga Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha (Solat pengembara-pengembara dan memendekkannya), Bab Solat al-Lail Wa ‘Adad Raka‘at al-Nabi s.a.w. Fi al-Lail Wa Anna al-Witr Rak‘at Wa Anna al-Rak‘at Solah Sahihah (Solat malam dan bilangan rakaat Nabi s.a.w. di waktu malam, dan sesungguhnya witir itu satu rakaat, serta sesungguhnya satu rakaat itu solat yang sah). No. 1219.
[4] HR Malik, Kitab alNida’ li alSolah, Bab Ma Ja’a fi Qiyam Ramadhan, No. 232.
[5] Sila lihat Solat al-Tarawih oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani, al-Maktab al-Islami, Beirut, Cetakan ke2 1405h-1985, hlm. 55 dan 65.
[6] HR al-Nasa’i, Kitab Qiyam al-Lail Wa Tatawwu‘ al-Nahar (Bangun malam dan solat sunat siang), Bab Qiyam Shar Ramadhan (Bangun bulan Ramadhan), No. 1587. dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa‘i No. 1604.
[7] HR al-Nasa’i, Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Zikr Ikhtilaf al-Naqilin Li Khabar Hafsah Fi Zalik (al-Niyyah Fi al-Siyam) (Penerangan tentang perbezaan para periwayat hadith Hafsah berkenaan perkara ini (niat dalam puasa)), No. 2292. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i No. 2330.
[8] Sila lihat al-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Raudah al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1421H-2000, hlm. 332.
[9] Sila lihat Mohd. Asri Zainul Abidin, Bid’ah Hasanah Istilah Yang Disalah Fahami, Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2005, hlm. 44. (al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba‘ Wa al-Nahy ‘an al-Ibtida‘, hlm. 100.)

2 ulasan:

Hamba_Allah berkata...

Mcm mana pula kalau niat berpuasa utk satu bulan terus?Karena bimbang kalau terlupa hendak niat pada malam-malam tertentu.

syababus sunnah berkata...

ape maksud niat untuk sebulan terus?kalu anda masih sedar pada malam hari bulan Ramadhan,anda memang berniat untuk berpuasa pada esok harinya tanpa perlu kepada lafaz niat.melainkan anda memang tidak mahu berpuasa pada esok harinya.mungkin anda keliru dengan lafaz niat puasa sebulan dan puasa esok hari.sesungguhnya Nabi SAW tidak pernah mengajar para sahabat untuk mengucapkan lafaz niat untuk puasa dan juga ibadah2 lain.wallahua'lam