31 Julai 2008

Amalan di bulan Sya'ban

Oleh : Sheikh Muhammad b Salih al-‘Uthaymin

Diriwayatkan oleh A’ishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dengan kerap di dalam bulan-bulan lain melainkan bulan Sha’ban.”

[Sahih al-BUkhari (1969) dan Sahih Muslim (1156)]


Hadith ini menekankan bahawa adalah Sunnah untuk kerap berpuasa di dalam bulan Sha’ban. Sha’ban adalah satu bulan yang perlu kita pilih untuk melakukan lebih banyak puasa sunat.Berpuasa pada hari-hari di dalam bulan Sha’ban adalah Sunnah.

A’ishah juga berkata: “Baginda sering berpuasa keseluruhan bulan Sha’ban”

[Sahih al-Bukhari (1970)]

Dia juga berkata: “Baginda sering berpuasa di dalam Bulan Sha’ban kecuali beberapa hari di dalamnya.”
[Sahih Muslim]

Usamah b Zayd berkata : Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa dengan lebih kerap seperti yang baginda lakukan di dalam bulan Sha’ban.

Aku bertanya mengapa Baginda berbuat demikian, dan Baginda menjawab: “Ini adalah bulan yang orang tinggalkan di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan. Sedangkan inilah bulan dimana amalan diangkat kepada Tuhan seluruh Alam, dan aku suka supaya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”

[Musnad Ahmad (21735) dan Sunan al-Nasa’i (2357). Ibn Muflih berkata tentangnya di dalam al-Furu’ (3/120): “Ia mempunyai sanad yang baik”]

Menentukan 15 Sha’ban untuk berpuasa

Bukti yang dibawakan di atas adalah benar untuk keseluruhan bulan. Tidak ada hari atau-hari-hari tertentu di dalam bulan Sha’ban yang digalakkan secara khusus untuk berpuasa. Tidak ada kelebihan tertentu untuk berpuasa pada hari yang ke-15 bulan Sha’ban.

Terdapat satu hadith yang lemah berbunyi:

“Apabila pertengahan Sha’ban tiba, dirikanlah solat keseluruhan malam dan berpuasa keesokan harinya, kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut dan pada waktu terbenam matahari mengumumkan: ‘Adakah sesiapa yang memohon keampunanKu supaya Aku ampunkan? Adakah sesiapa yang memohon kecukupan dariKu supaya Aku cukupkan? Adakah sesiapa yang menghadapi kesukaran agar Aku dapat ringankan?? ...’ dan Dia terus bertanya sehingga terbit fajar.” [Sunan Ibn Majah (1388)]

Penulis al-Manar telah memastikan bahawa hadith ini bukan sahaja lemah, malah direka.

Beliau berkata:

Yang benar adalah hadith ini rekaan. Pada isnadnya terdapat Abu Bakr b ‘Abd Allah b. Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Ibn Abi Sabrah.

Ahmad b Hanbal dan Yahya b Ma’in telah mendedahkan bahawa beliau adalah pereka hadith. [Juga rujuk: Majmu’ al-Fatawa (5/266)]

Oleh kerana amalan mengkhususkan 15 Sha’ban untuk berpuasa tidak dapat dibuktikan dari mana-mana hadith yang sohih, maka ia adalah amalan yang tiada asasnya. Semua ulama’ sepakat bahawa hadith yang lemah dan direka-cipta tidak boleh dijadikan hujjah untuk amalan Ibadah.

Satu pengecualian kepada keadaan ini adalah apabila terdapat kes di mana hadith yang lemah mempunyai sokongan dari banyak jalan periwayatan yang lain sehingga menguatkannya ke tahap yang lebih baik. Dalam kes ini, ia boleh digunakan sebagai hujjah untuk melakukan amalan Ibadah asalkan ia tidak bercanggah dengan hadith yang lebih kuat.

Maka, menjadi suatu innovasi didalam beribadah (bid’ah) apabila mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, kerana mana-mana perbuatan ibadah yang tidak mempunyai hujjah dari Sunnah adalah bid’ah didalam agama.

Ini tidak bermakna kita perlu mengelakkan diri dari berpuasa pada 15 Sha’ban. Ia seperti hari-hari lain di dalam bulan Sha’ban dan keumuman hadith yang menggalakkan berpuasa di dalam bulan Sha’ban adalah untuk kesemua hari di dalamnya. Apa yang salah adalah mempunyai niat untuk mengkhususkan hari tersebut (15 Sha’ban) untuk berpuasa.

Wallahu’alam.

Tiada ulasan: