30 September 2008
Kita Zuriat Adam, Bukan Zuriat Iblis
Allah mengulangi kisah Adam dan Iblis di beberapa tempat dalam al-Quran. Barangkali bagi mereka yang kurang memahami al-Quran akan menganggap itu adalah pengulangan biasa yang tidak memberikan apa-apa impak yang berlainan. Sebenarnya, sudah pasti tidak!
Al-Quran adalah kitab yang tersusun dengan segala mukjizat yang membuktikan kebesaran Allah Yang Menurunkannya. Pengulangan cerita itu disebabkan faktor-faktor tersendiri yang menuntut kisah Adam dan Iblis itu dibangkitkan semula. Kisah tersebut adalah tonggak panduan kepada kehidupan manusia atas muka bumi ini.
Kisah Adam dan Iblis diketahui oleh semua muslim, bahkan ia juga terkandung dalam Bible. Ringkas ceritanya Iblis yang enggan memberikan penghormatan kepada Adam seperti mana yang Allah perintahkan. Bahkan dia mempertikaikan arahan tersebut. Lantas dia dihukum kufur dan dilaknat.
Sementara Adam yang ditempatkan di syurga, kemudiannya telah ditipu oleh Iblis yang menyebabkan dia melanggar arahan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Kesannya, dia dihukum dengan ditempatkannya di atas muka bumi namun disertai dengan keampunan dan rahmat Allah.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 34-37:
(maksudnya) Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”, lalu mereka semua tunduk melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia daripada golongan yang kafir. Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada golongan zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.
Pada mereka yang tidak faham kisah ini mungkin menganggap adanya ‘double standard’ dalam hukuman Tuhan terhadap dua makhluknya yang berbeza. Setiap mereka telah melakukan satu kesalahan, tetapi yang satu dihukum begitu berat sehingga kiamat, sementara satu yang lain dihukum dengan hukuman yang tidak kelihatan terlalu berat, bahkan diampun dan dirahmati.
Sekali pandang tanpa penelitian, mungkin ada yang tersalah anggap, seakan Iblis memang sengaja hendak dihukum demikian rupa, sedangkan Adam pula diampunkan, padahal sama-sama melakukan satu kesalahan.
Sebenarnya tidak! Sama sekali tidak sama antara kesalahan Iblis dan Adam. Iblis menderhakai Allah atas kesombongan dan ketakaburan. Dia bukan sahaja tidak taat kepada arahan Allah, tetapi dia mencabar peraturan atau hukum yang telah Allah tetapkan. Dia menganggap hukum itu tidak wajar, sekaligus dia mencabar kemutlakan hak Allah dalam menetapkan hukum.
Sementara Adam melakukan penderhakaan disebabkan kecuaian, kesilapan dan mengikut perasaan sehingga melupai hukum. Dalam Surah al-A’raf, Allah menceritakan bagaimana jawapan Iblis terhadap penderhakaannya, firman Allah: (maksudnya):
“Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika Aku perintahkanmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah”. (ayat 12).
Namun Adam yang juga bersalah tidak pernah mencabar peraturan Allah. Adam tidak pernah menyatakan bahawa kewujudan pokok berkenaan di syurga amat tidak sesuai dan boleh mengelirukan maka dia tidak patut dianggap bersalah. Tidak pula Adam mempertikaikan mengapa Iblis itu diwujudkan dan diberi peluang menggodanya.
Sebaliknya, dengan penuh keinsafan dan perasaan kehambaan akur atas kesalahan diri lantas memohon keampunan dan taubat. Dalam Surah al-A’raf juga Allah menyebut: (maksudnya)
“Dengan sebab itu dapatlah dia (Iblis) menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (daripada) syurga lantas Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan kasihani kami, nescaya kami tergolong daripada orang-orang yang rugi”. (ayat 22-23).
Kesalahan memang kesalahan. Namun titik tolak kesalahan dan sikap atas kesalahan amat berbeza antara Iblis dan Adam. Iblis bukan sahaja menderhaka, bahkan mempertikaikan atau meremehkan peraturan Allah.
Sedangkan Adam dan isterinya, apabila melakukan dosa, menginsafi diri dan memohon keampunan Allah atas dosa tersebut. Justeru itu, hukuman Allah ke atas dua makhluknya tersebut tidak sama disebabkan perbezaan nilai kesalahan, bukan kerana Tuhan itu menghukum secara ‘double standard’.
Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.
Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.
Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding sesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.
Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.
Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.
“Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Kisah Adam dan Iblis menjadi paksi dalam banyak episod kehidupan insan. Sebab itu dalam Islam sesiapa yang membuat dosa dan menghalalkan tindakannya maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang membuat dosa namun tidak menghalalkannya maka dia dianggap sebagai seorang fasiq (ahli dosa), namun tidak membawa kepada kufur. Melainkan jika dia bertaubat.
Ini seperti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak, maka dia berdosa dan menjadi fasik. Namun jika dia menghalalkan perbuatannya itu seperti menyatakan ‘bagi aku tidak salah jika aku tidak berpuasa pun’, atau dia mempertikaikan hukum seperti dia menyatakan ‘syariat puasa itu tidak sesuai atau tidak ada sebarang faedah untuk kita ikut’ maka dia menjadi kafir, terkeluar dari Islam. Ini kerana dia mempertikaikan atau mencabar Allah Yang Maha Agung.
Perbuatan yang seperti itulah yang dilakukan oleh Iblis lalu dihukum kufur oleh Allah. Sama juga dengan pelaku dosa. Jika seseorang berzina maka dia berdosa dan fasiq (fasik). Namun, jika menghalalkan perbuatan zina seperti menyatakan ‘apa salahnya jika suka sama suka’, atau dia menyatakan ‘jika pasangan dah rela, mana boleh berdosa’, atau menyebut ‘zina macam sedekah, jika orang bagi tidak salah kita mengambilnya’ maka pengucap ungkapan-ungkapan yang seperti ini terkeluar dari Islam. Ini kerana dia telah mempertikaikan hukum Allah dan mencabar apa yang telah ditetapkanNya.
Dia seperti Iblis, yang mempertikaikan arahan Allah. Melainkan jika dia hilang akal atau gila atau apa sahaja yang menunjukkan dia tidak bermaksud mempertikaikan, atau meremehkan hukum Allah sama sekali
Saya amatlah terkejut apabila ada ‘orang politik’ yang sanggup menyamakan zina yang dia akui melakukannya dengan sedekah yang disuruh oleh Islam. Sanggup dia menghalalkan perbuatannya yang buruk itu atas alasan dia diumpan oleh orang lain, maka itu baginya macam sedekah yang jika ‘diberi boleh diambil’.
Alangkah buruk perbuatan dan akidahnya. Dia samakan perkara yang Allah murka dengan perkara yang Allah suka. Apa yang lebih pelik, tidak pula kedengaran dengan jelas tokoh-tokoh agama dalam kem politik ‘si celupar itu’ mengulas perkara ini. Padahal ramai di kalangan mereka yang begitu tangkas dan cepat bertindak jika ada ucapan-ucapan yang menyalahi agama dibuat oleh musuh-musuh politik mereka.
Bahkan ucapan yang masih lagi samar dan boleh diberi maksud yang berbagai pun dibantai sampai tidak cukup tanah. Tiba-tiba apabila kena giliran sahabat sendiri yang mengucapkan perkataan yang buruk lagi parah itu, ramai yang menyepi diri. Tiada yang berani menyuruh dia bertaubat dan menarik balik secara terbuka, bukan menyuruh orang lain ‘berbahasa’ untuknya.
Di mana isu-isu agama dan moral yang diperkatakan selama ini? Ternyata, hukuman politik berbau agama tidak sama dengan pendirian agama mengenai isu politik. Bukan saya ingin bermusuh dengan sesiapa. Kolum saya ini telah mengambil risiko menegur rakyat dan pemerintah. Apakah mereka hanya dapat terima apabila saya menegur pemerintah, tetapi membantah jika mereka ditegur? Atau apakah mereka hanya berani menegur pemerintah dan mendiamkan diri apabila kesalahan itu dibuat oleh ‘geng sendiri’?.
Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya yang membinasakan mereka yang terdahulu dari kamu adalah; apabila orang yang berkedudukan mencuri maka mereka biarkan, jika orang yang lemah mencuri maka mereka laksanakan hukuman ke atasnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berbalik kepada kisah Adam dan Iblis. Kisah ini menjadi teras dalam akidah Islam. Islam agama yang akur bahawa insan sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan. Selagi mana insan insaf bahawa kesalahan itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia mempunyai ruang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah.
Namun apabila insan yang melakukan dosa itu sombong dan bongkak dengan merasakan dia tidak bersalah atas perbuatannya, maka tempatnya bersama dengan Iblis yang menghuni tetap neraka yang amat dahsyat. Firman Allah dalam Surah Sad:
(maksudnya) (setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. Allah berfirman: “Hai lblis! apa yang menghalangmu dari turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (Wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana eesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat!”. Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) “. Allah berfirman: ” Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh, hingga ke hari yang termaklum “. Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu (zuriat Adam) yang dibersihkan”. Allah berfirman: “Maka Akulah Tuhan Yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara Yang benar Aku firmankan -Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu daripada zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya “. (ayat 73-85).
Setiap kita ini ada kelemahan diri dan kesalahan yang kita lakukan. Namun sebagai insan yang merupakan zuriat Adam, kita sentiasa akur atas kelemahan dan kesalahan, inginkan keampunan serta memohon kemaafan Tuhan selalu. Kita tidak akan mempertikaikan apa yang telah Allah nyatakan dalam kitabNya al-Quran atau dalam sunnah yang sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w.
Jika kita gagal melaksanakan perintah Allah, atau melanggar larangannya kita akan akui kelemahan diri, memohon agar dikurniakan taubat yang ikhlas. Sama sekali kita tidak kata hukum Allah tidak baik. Atau tidak sesuai. Atau halal dan haram itu sama sahaja. Atau, bagiku perkara yang Allah haramku itu tidak haram. Tidak! Sama sekali tidak! Hanya pengikut Iblis yang mengucapkan seperti itu. Kita akan menyebut apa yang Allah ajar:(maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (Surah al-Baqarah, ayat 286).
22 September 2008
Jangan Salahgunakan Agama Untuk Kepentingan
"Islam adalah matlamat yang dituju, bukan alat yang dipergunakan. Malangnya dalam masyarakat hari ini, banyak keadaan menunjukkan Islam itu tidak lebih daripada alat yang dipergunakan. Islam dipergunakan untuk keuntungan peribadi, perniagaan, politik dan lain-lain. Islam diperlakukan oleh sesetengah pihak bagai pelaris jualan."
Atau Islam dibuat bagaikan saluran media untuk mengiklan barang. Islam ditampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan kerana kecintaan kepada Islam, tetapi kerana itu boleh mempengaruhi orang ramai. Ini samalah dengan seorang tuan kedai yang menggantungkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya untuk menarik perhatian pelanggan semata.
Padahal dia tidak pun berpegang kepada isi kandungan ayat yang digantung. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan, tidak pun dilakukannya. Bahkan lebih teruk lagi, mungkin dia tidak bersolat, berpuasa dan perkara-perkara asas yang lain sebagai seorang muslim.
Namun dinding kedainya dipenuhi ayat al-Quran. Maka ayat al-Quran itu bukan pegangan hidupnya, tetapi alat yang dipergunakan untuk kepentingan dirinya. Bukan sedikit orang yang seperti tuan kedai itu dalam masyarakat kita. Mungkin bidang kepentingan dan caranya berbeza-beza, tetapi perbuatan mengeksploitasikan agama itu adalah sama.
Ustaz Produk
Saya amat tidak bersetuju apabila produk-produk yang melantik penceramah-penceram ah agama sebagai duta produk mereka. Maka para penceramah ini akan berceramah ke sana sini menggunakan nas-nas agama itu dan ini untuk dikaitkan dengan produk yang dia didutakan.
Jadilah agama mainan ‘golongan peniaga’ dalam mempengaruhi orang awam. Hadis-hadis yang entah daripada mana asalnya, atau yang tidak sahih dikeluarkan untuk melariskan produk. Orang awam yang jahil akan terpengaruh.
Kadang-kala nas yang digunakan itu benar, tetapi dieksploitasikan. Umpamanya al-Quran memang menyebut tentang kelebihan madu seperti firman Allah:
(maksudnya)
“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang dimudahkannya kepadamu”. (dengan itu) akan keluarlah daripada perutnya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah al-Nahl: ayat 68-69).
Ayat ini adalah umum, tidak dikaitkan dengan mana-mana produk tertentu. Maka janganlah digunakannya untuk dikhususkan kepada syarikat tertentu, padahal sudah ribuan tahun manusia meminum madu dan menikmati manfaatnya, sebelum syarikat-syarikat hari ini wujud.
Namun, apabila lidah penceramah agama berkempen untuk produk tertentu, maka jelaslah bahawa dia telah mengeksploitasikan agama untuk memajukan poketnya, bukan mendaulatkan agamanya. Jika dia ingin berkempen orang ramai meminum madu, silakan. Ayat tadi pun berkempen untuk itu. Tetapi hendaklah secara umum, bukan berkepentingan.
Daerah dakwah itu hendaklah menjadi daerah yang bersih dari kepentingan peribadi. Masalahnya, apabila masyarakat kita ada ramai penceramah yang bermodalkan agama, kurang pula yang menjadikan agama adalah matlamat dalam dakwah, maka beginilah jadinya.
Sebab itu barangkali, Nabi s.a.w membersih masjid dari sebarang perniagaan, seperti sabda baginda s.a.w:
“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Lelong Pahala
Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan ekspot kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil ‘tahlil’ khas yang berbayar.
Maka ramailah ‘tekong’ yang melimpah luah wang pada bulan puasa ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal. Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kueh dan baju raya.
Seperti mana orang kaya pada hari raya akan lebih mewah dengan kueh dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga.
Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerena pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online.
Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas-nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar. Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan ‘bisnes’ mereka pada hari ini.
Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan ‘menjual pahala’ kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini.
Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya:
“Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.
Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i dan Malik tidak sampai” (m.s 458). Seterusnya beliau menyebut:
“Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana-mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain. Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil. Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara suka rela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah) .
Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang diekspoitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.
Kerana Pulus
Lebih penting daripada itu, apa yang ditegaskan oleh insan yang tidak boleh dipertikaikan ucapannya, iaitu Rasulullah s.a.w:
“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia”(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Namun, pulus punya pasal pahala pun orang sudah jual. Mungkin jika saudagar unta leher panjang Jamal Pak Tongkol dengar, dia akan kata: “jual pahala lebih untung daripada jual unta”.
Di samping di sana terdapat ramai sarjana, termasuk al-Imam al-Syafi’i sendiri yang menganggap bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati. Tokoh tafsir al-Quran yang agung, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika menafsirkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Najm, ayat 39 (maksudnya):
“Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”,
beliau menyebut:
“Maksudnya, seperti mana seseorang tidak menanggung dosa orang lain, demikian dia tidak mendapat pahala melainkan apa yang diusahakannya sendiri.”Dari ayat yang mulia ini al-Imam al-Syafi’i dan sesiapa yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana itu bukan amalan dan usaha mereka. Justeru itu, Rasulullah s.a.w tidak pernah menggalak, atau menyuruh atau menunjukkan umatnya kepada perkara tersebut samada secara nas yang jelas, atau isyarat.Tidak pernah diriwayatkan seorang pun dari kalangan sahabah r.ahum yang berbuat demikian. Jika itu sesuatu yang baik, tentu mereka telah pun mendahului kita melakukannya. Bab ibadah khusus hanya terbatas dalam lingkungan nas semata, tidak boleh diubah-ubah dengan berbagai kias dan pandangan. Adapun doa dan sedekah, maka itu disepakati sampai pahala keduanya kepada si mati kerana dinaskan oleh syarak”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/328, Beirut: Muassasah al-Rayyan).
Apa yang saya risaukan, perkara ini akan memberikan gambaran yang salah orang ramai termasuk bukan muslim kepada Islam. Mereka akan menganggap syurga itu boleh dijual beli berdasarkan kekayaan dan upah dari kroni-kroni yang masih hidup. Hilanglah kehebatan nilai perjuangan dan pengorbanan para pejuang Islam yang terkorban dan dikorbankan dalam memperolehi syurga, jika pahala ke syurga itu boleh dibayar atau ditempah.
Azan
Mesej saya adalah jangan ekspoitasikan Islam untuk keuntungan. Dalam banyak hal Islam itu menjadi kabur disebabkan oleh penganutnya sendiri. Kita memang marah jika ada orang Islam atau bukan Islam yang menentang laungan azan.
Azan adalah syiar kepada Islam dan masyarakatnya. Namun, bacaan-bacaan selain azan yang dipasang dengan kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar, tidak pernah disuruh oleh Islam. Bahkan jika ia dilaungkan seperti azan, kuat kedengaran di menara masjid, maka itu menyanggahi Islam. Ini termasuk bacaan al-Quran, selawat dan apa-apa zikir sekali pun.
Bacaan itu baik, tetapi bukan sampai mengeliru dan mengganggu orang lain. Saya pernah mendapat aduan seorang ibu yang tinggal berdekatan masjid bahawa bayinya yang kecil sering tidak dapat tidur disebabkan masjid berkenaan memasang bacaan-bacaan yang panjang dan berbagai sebelum waktu solat. Saya beritahu dia, itu bukan ajaran Islam.
Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah mengkritik hal ini, katanya:
“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan di antaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Di kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Lebih buruk jika yang dikuatkan itu ceramah-ceramah yang bersifat ‘permusuhan’ lalu dipaksa orang tidak mahu hadir mendengar dari tempikan pembesar suara.
Sebab itu bagi saya, jika orang bukan Islam membantah azan, itu satu kebiadapan yang patut diambil tindakan. Namun, jika mereka membantah perkara-perkara lain yang disalahgunakan atas nama masjid dan Islam, kita patut semak terlebih dahulu sebelum bertindak. Jangan gunakan isu agama dalam perkara yang tidak benar.
Begitu juga parti-parti politik, jangan jadikan agama sebagai ‘penghalal’ kepada tindakan. Ramai orang politik yang bertindak terlebih dahulu, lalu cari dalil agama untuk menjustifikasikanny a. Bukan cari dalil agama dulu, baru bertindak.
Maka agama dalam keadaan seperti ini sering menjadi mangsa. Bak kata Kata Dr. Salah al-Khalidi:
“Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran (menghayati al-Quran) yang luas dengan cara yang tidak betul… ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkannya, memaksa-maksa dalil dan nas serta memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya..” (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Mafatih li al-Ta`amul ma`a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar).
Bebaskan diri kita dari menyalahgunakan Islam!
04 September 2008
Tuntutan Sunnah dalam bulan Ramadhan(part 2)
4- Usahakan untuk bersahur seketika sebelum masuknya waktu fajar:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً [10]
Maksudnya: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan.
- Bersahur adalah satu amalan yang amat-amat digalakkan walaupun dengan seteguk air:
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ [11]
Maksudnya: Sahur ialah santapan berkat, janganlah kamu semua tinggalkannya walaupun dengan meneguk seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat ke atas orang yang bersahur.
- Sekiranya masuk waktu fajar, tidak dibenarkan makan dan minum. Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:187):
Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
- Akan tetapi terdapat kelonggaran untuk makan dan minum walaupun azan berkumandang bagi mereka yang memegang minuman atau makanan:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمْ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ [12]
Maksudnya: Sekiranya seorang daripada kamu mendengar azan sedang bekas air di tangannya, janganlah dia letakkan sehingga dia selesai minum apa yang perlu.
- Sahur sewajarnya dilewatkan sehingga ke penghujung waktu iaitu seketika sebelum masuknya waktu fajar:
ثلاث من أخلاق النبوة: تعجيل الإفطار وتأخير السحور ووضع اليمين على الشمال في الصلاة [13]
Maksudnya: Tiga perkara merupakan akhlak kenabian; mencepatkan buka puasa, melewatkan sahur dan meletak tangan kanan atas tangan kiri dalam solat.
- Imsak dikira oleh para ulamak sebagai satu amalan yang tidak berpaksikan dalil yang sahih. Ibnu Hajar telah berkata:
“Di antara bid‘ah-bid‘ah yang munkar ialah apa yang berlaku di zaman ini iaitu melaungkan azan kedua sebelum waktu subuh dengan anggaran satu pertiga jam pada bulan Ramadhan, di samping memadamkan pelita-pelita yang dijadikan tanda pengharaman makan dan minum bagi mereka yang ingin berpuasa. Perbuatan ini dianggap satu usaha berjaga-jaga dalam ibadat. Perkara ini tidak diketahui kecuali oleh segelintir manusia. Perbuatan ini juga telah menarik mereka untuk tidak melaungkan azan kecuali selepas terbenamnya matahari seketika untuk memastikan waktu –pada sangkaan mereka-. Dengan ini mereka telah melewatkan berbuka dan mencepatkan bersahur dan mereka telah menyalahi al-Sunnah. Disebabkan inilah kebaikan menjadi sedikit di kalangan mereka dan keburukan menjadi banyak di antara mereka. Allah jualah yang dipohon pertolongan.”[14]
5- Berpuasalah dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ [15]
Maksudnya: Siapa puasa Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.
6- Tegahlah diri daripada makan, minum dan lebih penting lagi kata-kata keji dan amalan-amalan keji:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ [16]
Maksudnya: Siapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan amalam keji, Allah tidak mempunyai hajat dalam usahanya meninggalkan makann dan minumannya.
- Orang yang terlupa lalu makan dan minum semasa dia menjalankan ibadah puasa, perbuatannya ini tidak membatalkan puasanya. Akan tetapi sekiranya dia teringat semasa sedang makan atau minum, hendaklah dia segera berhenti. Orang yang melihatnya makan dan minum juga hendaklah menegurnya kerana memberi nasihat dalam agama adalah wajib. Sabda Rasulullah s.a.w.:
مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ [17]
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa semasa dia berpuasa lalu dia makan atau minum, hendaklah dia sempurna (atau teruskan) puasanya kerana sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum.
- Terdapat beberapa orang yang dikecualikan daripada berpuasa. Mereka dapat dibahagikan kepada dua bahagian seperti berikut:
a- Dikecualikan daripada berpuasa tetapi mestilah menggantinya apabila tiada halangan.
· Orang sakit yang boleh sembuh,
· Pengembara.
Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:184):
Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.
b- Dikecualikan daripada berpuasa dan tidak perlu menggantinya apabila tiada halangan, akan tetapi perlu membayar fidyah dengan memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan.
· Lelaki tua yang tidak mampu berpuasa,
· Wanita tua yang tidak mampu berpuasa.
· Orang sakit yang tidak boleh sembuh
· Wanita yang hamil
· Wanita yang menyusukan anak
Firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:184):
Maksudnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin
Terdapat riwayat daripada Ibnu Abbas yang menerangkan pendapat ini seperti berikut:
Riwayat pertama:
عَنْ عَطَاءٍ سَمِعَ ابْنَ عَبَّاسٍ يَقْرَأُ وَعَلَى الَّذِينَ يُطَوَّقُونَهُ فَلَا يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لَيْسَتْ بِمَنْسُوخَةٍ هُوَ الشَّيْخُ الْكَبِيرُ وَالْمَرْأَةُ الْكَبِيرَةُ لَا يَسْتَطِيعَانِ أَنْ يَصُومَا فَيُطْعِمَانِ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا [18]
Maksudnya: Daripada ‘Ata’ bahawa dia mendengar Ibnu ‘Abbas membaca { Dan wajib atas orang-orang yang diberatkan puasa (kerana tua dan sebagainya)} maka mereka tidak mampu berpuasa, {membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin}. Ibnu ‘Abbas berkata ‘Ayat ini tidak mansukh. Mereka ialah orang tua lelaki dan wanita yang tidak mampu berpuasa maka mereka memberi makan bagi setiap hari seorang miskin.’
Riwayat kedua:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ قَالَ كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ وَالْمَرْأَةِ الْكَبِيرَةِ وَهُمَا يُطِيقَانِ الصِّيَامَ أَنْ يُفْطِرَا وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا قَالَ أَبُو دَاوُد يَعْنِي عَلَى أَوْلَادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا [19]
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas {Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin} katanya ‘Dahulu ini adalah kelonggaran bagi orang tua lelaki dan wanita yang mana kedua-duanya berdaya berpuasa untuk memberi makan setiap hari seorang miskin, juga wanita hamil dan menyusu jika kedua-duanya takut. Berkata Abu Daud iaitu takut atas anak mereka, mereka buka dan memberi makan.
7- Mempergandakan amalan-amalan kebajikan di bulan ini:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ [20]
Maksudnya: Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.
- Memperbanyakkan bacaan al-Quran al-Karim dan juga mendengar bacaan al-Quran al-Karim. Firman Allah Ta’ala (alBaarah 2:185):
Maksudnya: (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa sebab pemilihan bulan Ramadhan sebagai bulan puasa ialah kerana al-Quran diturunkan dalam bulan ini. Jadi wajarlah dipertingkatkan bacaan al-Quran dan diperbanyakkan mendengar bacaan al-Quran serta tinggalkanlah lagu-lagu.
- Menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa.
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ [21]
Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang puasa, dia akan dapat seperti pahalanya tanpa dikurangkan pahalanya sedikitpun.
- Membuat Umrah di bulan ini, pahalanya ibarat membuat haji:
فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً [22]
Maksudnya: Sekiranya datang Ramadhan hendaklah kamu berumrah kerana sesungguhnya umrah dalam Ramadhan menyaingi haji.
8- Di bulan ini, Allah Ta‘ala membuka peluang seluas-luasnya untuk hamba-hambaNya menghentikan amalan-amalan buruk dan keji:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ [23]
Maksudnya: Apabila masuknya malam pertama daripada bulan Ramadhan para syaitan dan pengganas jin akan dirantai, pintu-pintu neraka akan ditutup, tiada satu pun akan dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, tiada satu pun akan ditutup. Akan ada seseorang yang akan melaungkan, ‘Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang inginkan kekejian, berhentilah. Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan daripada neraka pada setiap malam.
9- Memperbanyakkan doa di setiap masa semasa puasa:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْصَائمِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ [24]
Maksudnya: Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara.
10- Apabila tenggelamnya matahari, berbukalah dengan segera:
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ [25]
Maksudnya: Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka segera berbuka puasa.
إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا وَغَرَبَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ. [26]
Maksudnya: Sekiranya malam datang dari sini, siang pergi dari sini dan terbenamnya matahari maka berbukalah orang berpuasa.
11- Semasa berbuka, mulakan dengan rutob (kalau tiada) tamar (kalau tiada) dengan air:
…أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ [27]
Maksudnya: Anas berkata ‘Kebiasaannya dahulu Rasulullah s.a.w. berbuka dengan kurma muda sebelum solat. Jika tiada kurma muda maka dengan kurma tua. Jika tiada maka dengan beberapa teguk air.
12- Selepas berbuka bacakan:
…حَدَّثَنَا مَرْوَانُ يَعْنِي ابْنَ سَالِمٍ الْمُقَفَّعَ قَالَ رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقْبِضُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَيَقْطَعُ مَا زَادَ عَلَى الْكَفِّ وَقَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ [28]
Maksudnya: Marwan bin Salim telah berkata ‘Aku telah melihat Ibnu Umar menggenggamjanggutnya dan memotong apa yang melebihi tapak tangan. Beliau berkata ‘Kebiasaannya dahulu Rasulullah s.a.w. apabila berbuka Baginda akan berkata “Telah hilang dahaga dan telah basah urat-urat. Dan telah tetap pahala dengan izin Allah.”
13- Apabila sampainya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, tingkatkan kegigihan beribadat, pastikan malam al-Qadr tidak terlepas:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ [29]
Maksudnya: Daripada ‘Aisyah r.a. katanya ‘Kebiasaannya dahulu Nabi s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, Baginda akan bersungguh-sungguh, menghidupkan malamnya dan mengejutkan keluarganya.’
14- Sekiranya berkesempatan beri‘tikaflah di salah satu dari 3 masjid iaitu al-Masjid al-Haram, al-Masjid al-Nabawi dan al-Masjid al-Aqsa (menurut satu pendapat):
لا اعتكاف إلا في المساجد الثلاثة [30]
Maksudnya: Tiada iktikaf kecuali di tiga masjid sahaja.
- Pendapat kedua pula ialah Masjid Jami‘. Bagi mereka yang mengambil pendapat pertama, masih boleh juga turut serta beribadat dengan mereka yang beri‘tikaf di masjid-masjid Jami‘:
الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ مَا لَمْ يُحْدِثْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ لَا يَزَالُ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاةٍ مَا دَامَتْ الصَّلَاةُ تَحْبِسُهُ لَا يَمْنَعُهُ أَنْ يَنْقَلِبَ إِلَى أَهْلِهِ إِلَّا الصَّلَاةُ [31]
Maksudnya: Para malaikat berdoa ke atas seseorang dari kamu selagimana dia berada di dalam tempat solatnya selagimana dia tidak batal wudhuk ‘Ya Allah ampunkanlah dia, Ya Allah rahmatilah dia.’ Seorang daripada kamu dikira berada dalam solatnya selagimana solat itu menghalangnya, tiada yang melarangnya balik kepada keluarganya kecuali solat.
15- Bersungguh-sungguh pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan:
مَنْ يَقُمْ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ [32]
Maksudnya: Siapa bangun malam keagungan dengan keimanan dan pengharapan akan diampunkan untuknya dosanya yang terdahulu.
- Di malam al-Qadr bacalah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي [33]
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan, maka maafkanlah aku.
- Tanda malam al-Qadar:
عَنْ زِرٍّ قَالَ سَمِعْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ يَقُولُ وَقِيلَ لَهُ إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ مَنْ قَامَ السَّنَةَ أَصَابَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ فَقَالَ أُبَيٌّ وَاللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ إِنَّهَا لَفِي رَمَضَانَ يَحْلِفُ مَا يَسْتَثْنِي وَ وَاللَّهِ إِنِّي لَأَعْلَمُ أَيُّ لَيْلَةٍ هِيَ هِيَ اللَّيْلَةُ الَّتِي أَمَرَنَا بِهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقِيَامِهَا هِيَ لَيْلَةُ صَبِيحَةِ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ وَأَمَارَتُهَا أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فِي صَبِيحَةِ يَوْمِهَا بَيْضَاءَ لَا شُعَاعَ لَهَا [34]
Maksudnya: Daripada Zirr katanya ‘Aku mendengar Ubay bin Ka‘b berkata apabila dikatakan kepadanya bahawa Abdullah bin Mas‘ud berkata ‘Siapa bangun sepanjang tahun dia akan dapat malam keagungan.’ Ubay berkata ‘Demi Allah yang tiada tuhan yang hak selainnya, malam itu di dalam Ramadhan.’ Beliau bersumpah tanpa pengecualian. ‘Dan demi Allah, sesungguhnya aku tahu malam manakah ia. Ianya ialah malam yang Nabi s.a.w. perintahkan kami bangun padanya. Ianya ialah malam pagi 27. Tandanya ialah matahari terbit pada paginya putih tanpa cahaya silau.
16- Apabila sampai dua atau tiga hari sebelum berakhirnya Ramadhan, bersedialah untuk mengeluarkan zakat fitrah seperti berikut:
- Hukumnya fardhu:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ [35]
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah segantang kurma atau segantang gandum ke atas hamba, merdeka, lelaki, wanita, kecil dan dewasa dari kalangan orang-orang Islam. Baginda juga memerintahkan supaya zakat ini dikeluarkan sebelum orang ramai keluar untuk solat.
- Bentuk zakat fitrah:
عَنْ عِيَاضِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي سَرْحٍ الْعَامِرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ [36]
Maksudnya: Daripada ‘Iyad bin Abdullah bin Sa‘d bin Abi Sarh al-‘Amiri bahawa dia mendengar Abu Sa‘id al-Khudri r.a. berkata (Dahulu kami sering mengeluarkan zakat fitrah sebanyak segantang makanan atau segantang gandum atau segantang kurma atau segantang susu ‘kering’ atau segantang kismis.)
- Masa keluarkan zakat fitrah:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ [37]
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar r.a. katanya Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah segantang kurma atau segantang gandum ke atas hamba, merdeka, lelaki, wanita, kecil dan dewasa dari kalangan orang-orang Islam. Baginda juga memerintahkan supaya zakat ini dikeluarkan sebelum orang ramai keluar untuk solat.
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ [38]
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas katanya Rasulullah telah memfardhukan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa daripada kata-kata kosong dan kata-kata lucah, di samping menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Siapa yang menunaikannya sebelum solat, ia adalah zakat yang diterima. Siapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah seperti mana-mana sedekah.
- Kepada siapa diberikan zakat fitrah:
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ [39]
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Abbas katanya Rasulullah telah memfardhukan zakat fitrah sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa daripada kata-kata kosong dan kata-kata lucah, di samping menjadi makanan kepada orang-orang miskin. Siapa yang menunaikannya sebelum solat, ia adalah zakat yang diterima. Siapa yang menunaikannya selepas solat, ia adalah sedekah seperti mana-mana sedekah.
Demikianlah sedikit-sebanyak berkenaan tuntutan sunnah Rasulullah s.a.w. di dalam bulan Ramadhan. Semoga dapatlah kita berusaha dengan gigih agar menepati tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. junjungan kita dalam mengharungi hari-hari dalam bulan-bulan ini. Kita juga memohon agar Allah Ta’ala memberkati niat dan amalan kita di muka bumi ini dan mengizinkan kita memasuki syurgaNya di akhirat nanti. Amin ya Rabb al-alamin…
Rujukan
[10] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Barakah al-Sahur Min Ghair Ijab, No. 1789. Juga Muslim, Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Fadl al-Sahur WaTa’kid Istihbabih Wa Istihbab Ta’khirih Wa Ta‘jil al-Fitr (Kelebihan bersahur dan penekanan sunatnya serta sunatnya dilewatkan sahur dan dicepatkan berbuka), No.1835.
[11] HR Ahmad, Baqi Musnad al-Mukthirin, Musnad Abi Sa‘id al-Khudri, No. 10664. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, No. 3683.
[12] HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Fi al-Rajul Yasma‘ al-Nida’ Wa al-Ina’ Fi Yadih, No. 2003. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1394.
[13] HR al-Tabarani, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, No. 3038.
[14] Sila lihat al-‘Asqalani, Ali bin Hajar, Fath al-Bari, jil. 4, hlm. 199.
[15] HR al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Saum Ramadhan Ihtisaban Min al-Iman, No. 37. Juga Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha (Solat pengembara-pengembara dan memendekkannya), Bab al-Targhib Fi Qiyam Ramadhan Wa Huwa al-Tarawih (Galakan bangun Ramadhan iaitu Tarawih), No.1268.
[16] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Lam Yada‘ Qaul al-Zur Wa al-‘Amal Bih Fi al-Saum, No.1770.
[17] HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Akl al-Nasi Wa Shurbih Wa Jima‘ih La Yufattir, No. 1952. Juga al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab al-Saim Iza Akal Aw Syarib Nasiyan, No. 1797.
[18] HR al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Quran, Bab Qaulih Ta‘ala ‘Ayyaman Ma‘dudat...’, No. 4145.
[19] HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Man Qal Hiya Muthbatah Li al-Syaikh Wa al-Hubla, No. 1974. Dihukum
[20] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Fadl Shahr Ramadhan, No. 618. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi, No. 682.
[21] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Fadl Man Fattar Saima, No. 735. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi, No. 807.
[22] HR Muslim, Kitab al-Haj, Bab Fadl al-‘Umrah Fi Ramadhan, No. 2201.
[23] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Fadl Shahr Ramadhan, No. 618. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi, No. 682.
[24] HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797.
[25] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Ta‘jil al-Iftar, No. 1821. Juga Muslim, No. Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Fadl al-Sahur WaTa’kid Istihbabih Wa Istihbab Ta’khirih Wa Ta‘jil al-Fitr (Kelebihan bersahur dan penekanan sunatnya serta sunatnya dilewatkan sahur dan dicepatkan berbuka), No. 1838.
[26] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Mata Yahill Fitr al-Saim, No. 1818. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Bayan Waqt Inqida’ al-Saum Wa Khuruj al-Nahar, No. 1841.
[27] HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab Ma Yuftir ‘Alaih, No. 2009. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud, No. 2040.
[28] HR Abu Daud, Kitab al-Saum, Bab al-Qaul ‘Ind al-Iftar, No. 2010. Dihukum Hasan oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘, No. 4678.
[29] HR al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih, Bab al-‘Amal Fi al-‘Ashr al-Awakhir Min Ramadhan, No. 1884.
[30] HR al-Isma‘ili (al-Mu‘jam) dan al-Baihaqi (al-Sunan) seperti dinyatakan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 2786. Dihukum Sahih oleh al-Albani.
[31] HR al-Bukhari, Kitab al-Azan, Bab Man Jalas Fi al-Masjid Yantazir al-Solat Wa Fadl al-Masajid, No. 619. Juga Muslim, Kitab al-Masajid Wa Mawadi‘ al-Solat, Bab Fadl Solat al-Jama‘ah Wa Intizar al-Solat, No. 1060.
[32] HR al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Qiyam Lailah al-Qadr Min al-Iman, No. 34.
[33] HR Ibnu Majah. Kitab al-Du‘a, Bab al-Du‘a Bi al-‘Afw Wa al-‘Afiyah, No. 3840. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Ibnu Majah, No. 3119.
[34] HR Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha, Bab al-Targhib Fi Qiyam Ramadhan Wa Huwa al-Tarawih, No. 1272.
[35] HR al-Bukhari, Kitab al-Zakat, Bab Fard Sadaqah al-Fitr, No. 1407.
[36] HR al-Bukhari, Kitab al-Zakat, Bab Sadaqah al-Fitr Sa‘ Min Ta‘am, No. 1410.
[37] HR al-Bukhari, Kitab al-Zakat, Bab Fard Sadaqah al-Fitr, No. 1407.
[38] HR Abu Daud, Kitab al-Zakat, Bab Zakat al-Fitr, No. 1371. Juga Ibnu Majah, Kitab al-Zakat, Bab Sadaqah al-Fitr, No. 1817. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 1427 dan Sahih Ibnu Majah No. 1492.
[39] HR Abu Daud, Kitab al-Zakat, Bab Zakat al-Fitr, No. 1371. Juga Ibnu Majah, Kitab al-Zakat, Bab Sadaqah al-Fitr, No. 1817. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud No. 1427 dan Sahih Ibnu Majah No. 1492.
01 September 2008
Hadis-hadis Dhaif Seputar Ramadhan
Sumber:http://nasirussunnah.wordpress.com/
Apabila tibanya bulan Ramadhan,umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan soleh demi mendapatkan ganjaran berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah.
Di sana sini seruan untuk melakukan amalam kebajikan dapat di dengar.Atas dasar itu, maka banyaklah pula hadith-hadith tentang kelebihan bulan Ramadhan disampaikan kepada masyarakat.
Namun,dalam semangat mengajak manusia mencari redha Allah,ada yang terlupa prinsip penting dalam usaha itu,iaitu Allah telah menetapkan sunnah Nabi secara adil, (untuk) memusnahkan penyimpangan orang-orang sesat dari sunnah, dan mematahkan ta’wilan para pendusta dari sunnah dan menyingkap kepalsuan para pemalsu sunnah.
Sejak bertahun-tahun sunnah telah tercampur dengan hadits-hadits yang dhaif, palsu, diada-adakan atau lainnya. Hal ini telah diterangkan oleh para imam terdahulu dan ulama salaf dengan penjelasan dan keterangan yang sempurna.
Para pemberi nasihat akan melihat bahwa mereka,kecuali yang diberi rahmat oleh Allah tidak memperdulikan masalah yang mulia ini walau sedikit perhatian pun walaupun banyak sumber ilmu yang memuat keterangan shahih dan menyingkap yang bathil.
Sesungguhnya hadits-hadits yang tersebar di masyarakat sangat banyak, hingga mereka hampir tidak pernah menyebutkan hadits shahih,walaupun yang demikian itu sangat banyak.
Antara hadits-hadits yang tersebar di kalangan manusia di bulan Ramadhan, diantaranya.
Pertama.
“Kalaulah seandainya kaum muslimin tahu apa yang ada di dalam Ramadhan, niscaya umatku akan berangan-angan agar satu tahun Ramadhan seluruhnya. Sesungguhnya surga dihiasi untuk Ramadhan dari awal tahun kepada tahun berikutnya ….” Hingga akhir hadits ini. (Hadits ini maudhu‘ kerana adanya Jabir bin Ayyub, biografinya ada pada Ibnu Hajar di dalam Lisanul Mizan (2/101) dan beliau berkata : “Mashur dengan kelemahannya”. Juga dinukilkan perkataan Abu Nua’im, ” Dia suka memalsukan hadits”, dan dari Bukhari, berkata, “Mungkarul hadits” dan dari An-Nasa’i, “Matruk” (ditinggalkan) haditsnya”.)
Kedua.
“Wahai manusia, sungguh bulan yang agung telah datang (menaungi) kalian, bulan yang di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, Allah menjadikan puasa (pada bulan itu) sebagai satu kewajiban dan menjadikan shalat malamnya sebagai amalan sunnah. Barangsiapa yang mendekatkan diri pada bulan tersebut dengan (mengharapkan) suatu kebaikan, maka sama (nilainya) dengan menunaikan perkara yang wajib pada bulan yang lain …. Inilah bulan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya adalah merupakan pembebasan dari api neraka ….” Hingga akhir. (Hadits ini Dhaif karena lemahnya Ali bin Zaid, berkata Ibnu Sa’ad, Di dalamnya ada kelemahan dan jangang berhujjah dengannya, berkata Imam Ahmad bin Hanbal, Tidak kuat, berkata Ibnu Ma’in. Dha’if berkata Ibnu Abi Khaitsamah, Lemah di segala penjuru, dan berkata Ibnu Khuzaimah, Jangan berhujjah dengan hadits ini, karena jelek hafalannya. Demikian di dalam Tahdzibut Tahdzib )
Ketiga.
“Berpuasalah, niscaya kalian akan sehat” (hadits ini lemah.Berkata Abu Bakar Al-Atsram, “Aku mendengar Imam Ahmad -dan beliau menyebutkan riwayat orang-orang Syam dari Zuhair bin Muhammad- berkata, “Mereka meriwayatkan darinya (Zuhair,-pent) beberapa hadits mereka (orang-orang Syam, -pent) yang dhoif itu”. Ibnu Abi Hatim berkata, “Hafalannya jelek dan hadits dia dari Syam lebih mungkar daripada haditsnya (yang berasal) dari Irak, karena jeleknya hafalan dia”. Al-Ajalaiy berkata. “Hadits ini tidak membuatku kagum”, demikianlah yang terdapat pada Tahdzibul Kamal)
Keempat
“Barangsiapa yang berbuka puasa satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada sebab dan tidak pula karena sakit maka puasa satu tahun pun tidak akan dapat mencukupinya walaupun ia berpuasa pada satu tahun penuh”
(Hadits ini diriwayatkan Bukhari dengan mu’allaq dalam shahih-nya tanpa sanad) Ibnu Hajar berkata dalam Fathul Bari “Dalam hadits ini ada perselisihan tentang Hubaib bin Abi Tsabit dengan perselisihan yang banyak, hingga kesimpulannya ada tiga penyakit : idhthirah (goncang), tidak diketahui keadaan Abil Muthawwas dan diragukan pendengaran bapa beliau dari Abu Hurairah”.
Inilah empat hadits yang didhaifkan oleh para ulama dan di lemahkan oleh para Imam, namun walaupun demikian kita sering mendengar dan membacanya pada hari-hari di bulan Ramadhan yang diberkahi khususnya dan selain pada bulan itu pada umumnya.
Tidak menutup kemungkinan bahwa sebagian hadits-hadits ini memiliki makna-makna yang benar, yang sesuai dengan syari’at kita yang lurus baik dari Al-Qur’an maupun Sunnah, akan tetapi hadits-hadits ini sendiri tidak boleh kita sandarkan kepada Rasulullah S.A.W dan terlebih lagi umat ini telah Allah khususkan dengan sanad dibandingkan dengan umat-umat yang lain.
Dengan sanad dapat diketahui mana hadits yang dapat diterima dan mana yang harus ditolak, membedakan yang shahih dari yang bathil. Ilmu sanad adalah ilmu yang paling rumit, telah benar dan baik orang yang menamainy.
Wallahu ‘alam