30 Ogos 2008

Dalil Menurut As-Sunnah Dalam Berpuasa

TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.

Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.


Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.

Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.

23 Ogos 2008

Tuntutan Sunnah dalam bulan Ramadhan(part 1)

Oleh:Ustaz Fadlan Mohd Othman

Setelah melepasi bulan Sya’ban, tibalah masanya untuk seseorang muslim melaksanakan satu ibadah mulia yang merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam yang lima. Di dalam perbincangan mengenai tuntutan sunnah Rasulullah s.a.w. di dalam bulan mulia ini, penekanan akan dibuat berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang sahih sahaja serta kata-kata ulamak yang muktabar, seperti berikut:

1- Apabila melihat anak bulan Ramadhan bacakan:
اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ [1]
Maksudnya: Ya Allah, munculkanlah bulan sabit ini ke atas kami dengan keberkatan, keimanan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.

2- Dirikan Solat sunat al-Tarawih dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ [2]
Maksudnya: Siapa yang bangun Ramadhan dengan keimanan dan pengharapan akan diampunkan dosanya yang terdahulu.

- Jumlah bilangan solat sunat al-Tarawih yang terbaik ialah 11 raka‘at mengikut bilangan solat Nabi s.a.w.:
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَيْفَ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَقَالَتْ مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي [3]
Maksudnya: Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman bahawa beliau telah bertanya Aisyah r.a. ‘Bagaimanakah solat Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan?’ Beliau menjawab, ‘Baginda tidak pernah menambah dalam bulan Ramadhan dan bulan lain melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat, janaganlah engkau tanya kecantikannya dan panjangnya. Kemudian Baginda solat empat rakaat, janganlah engkau tanya kecantikannya dan panjangnya. Kemudian Baginda solat tiga rakaat.’ Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, adakah engkau tidur sebelum berwitir?’ Jawab Baginda, “Wahai Aisyah, sesungguhnya mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur.”

- Bilangan ini juga telah diarahkan oleh Umar r.a. semasa beliau melantik imam-imam untuk solat Tarawih di zamannya seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik dengan sanad yang sahih daripada alSaib bin Yazid katanya:
أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً ...[4]
Umar telah mengarahkan Ubai bin Ka’b dan Tamim alDari supaya mengimamkan orang ramai sebanyak 11 rakaat...

Di sana ada juga riwayat yang mengatakan bahawa Umar mengumpulkan orang ramai berimamkan Ubai bin Ka’b dan mengarahkannya supaya solat 20 atau 21 rakaat. Akan tetapi riwayat itu adalah lemah dan tidak sabit, sepertimana diterangkan oleh al-Syaikh al-Albani rahimahullah[5].

- Laksanakanlah solat sunat al-Tarawih bersama imam sehingga selesai:
إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ [6]
Maksudnya: Sesungguhnya siapa yang bangun bersama imam sehingga imam itu selesai, Allah menulis untuknya bangun satu malam.

Sekiranya berimamkan imam yang berpendapat bilangan solat Tarawih ialah 23 rakaat, adalah digalakkan supaya menyelesaikan solat bersama imam untuk mendapat ganjaran bangun seluruh malam. Pun begitu jika hendak berhenti setengah jalan, perlulah diingatkan bahawa solat Tarawih adalah sunat hukumnya. Dalam erti kata lain perkara ini adalah dibenarkan.

3- Pastikan berniat untuk melaksanakan puasa Ramadhan pada waktu malam:
مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ [7]
Maksudnya: Siapa yang tidak meniatkan puasa pada waktu malam sebelum fajar, maka tiada puasa baginya.

- Niat tempatnya dalam hati iaitu dengan berdetiknya dalam hati bahawa seseorang itu ingin melakukan sesuatu amalan. Al-Imam al-Nawawi telah berkata:
“Dan niat itu ialah tujuan (al-Qasd). Justeru orang yang sembahyang menghadirkan dalam fikirannya zat solat dan apa-apa yang wajib daripada sifat-sifat solat seperti zuhur, fardhu dan sebagainya. Kemudian dia menuju kenyataan-kenyataan ini dengan tujuan yang seiringan dengan takbir yang pertama. Tidak disyaratkan mengiringkan niat selepas takbir. Akan tetapi disyaratkan tidak mendatangkan perkara yang membatalkannya. Jika dia berniat di pertengahan solat untuk keluar darinya, batal solatnya.”[8]

- Al-Imam al-Suyuti juga telah berkata:
“Daripada bid‘ah (yang sayyiah) itu adalah was-was dalam niat solat. Itu bukan daripada perbuatan Nabi s.a.w. dan para sahabat Baginda. Mereka tidak pernah melafazkan sedikit pun niat solat melainkan (terus) takbir. ”[9]
Rujukan
1] HR al-Tirmizi, Kitab al-Da‘awat (Doa-doa), Bab Ma Yaqul ‘Ind Ru’yat al-Hilal (Apa yang disebut semasa melihat anak bulan), No. 3373. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tirmizi No. 3451.
[2] HR al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih (Solat Tarawih), Bab Fadl Man Qam Ramadhan (Kelebihan orang yang bangun Ramadhan), No. 1870. Juga Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha (Solat pengembara-pengembara dan memendekkannya), Bab al-Targhib Fi Qiyam Ramadhan Wa Huwa al-Tarawih (Galakan bangun Ramadhan iaitu Tarawih), No. 1266.
[3] HR al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih (Solat Tarawih), Bab Fadl Man Qam Ramadhan (Kelebihan orang yang bangun Ramadhan), No. 1874. Juga Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha (Solat pengembara-pengembara dan memendekkannya), Bab Solat al-Lail Wa ‘Adad Raka‘at al-Nabi s.a.w. Fi al-Lail Wa Anna al-Witr Rak‘at Wa Anna al-Rak‘at Solah Sahihah (Solat malam dan bilangan rakaat Nabi s.a.w. di waktu malam, dan sesungguhnya witir itu satu rakaat, serta sesungguhnya satu rakaat itu solat yang sah). No. 1219.
[4] HR Malik, Kitab alNida’ li alSolah, Bab Ma Ja’a fi Qiyam Ramadhan, No. 232.
[5] Sila lihat Solat al-Tarawih oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani, al-Maktab al-Islami, Beirut, Cetakan ke2 1405h-1985, hlm. 55 dan 65.
[6] HR al-Nasa’i, Kitab Qiyam al-Lail Wa Tatawwu‘ al-Nahar (Bangun malam dan solat sunat siang), Bab Qiyam Shar Ramadhan (Bangun bulan Ramadhan), No. 1587. dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa‘i No. 1604.
[7] HR al-Nasa’i, Kitab al-Siyam (Puasa), Bab Zikr Ikhtilaf al-Naqilin Li Khabar Hafsah Fi Zalik (al-Niyyah Fi al-Siyam) (Penerangan tentang perbezaan para periwayat hadith Hafsah berkenaan perkara ini (niat dalam puasa)), No. 2292. Dihukum sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i No. 2330.
[8] Sila lihat al-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Raudah al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1421H-2000, hlm. 332.
[9] Sila lihat Mohd. Asri Zainul Abidin, Bid’ah Hasanah Istilah Yang Disalah Fahami, Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa, 2005, hlm. 44. (al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba‘ Wa al-Nahy ‘an al-Ibtida‘, hlm. 100.)

15 Ogos 2008

Nisfu Sya'ban:Antara Fadhilat & Pembohongan

Sumber:http://ibnu-qayyim.blogspot.com/

Hadith sahih fadhilat nisfu sya'ban :
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Sya'ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).

(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Berdasarkan hadith ini cukuplah bagi kita meningkatkan amalan kita pada malam tersebut mengikut cara yang telah diajar nabi dengan amalan harian seperti bangun solat tahajud, membaca al-Qur'an (jangan mengkhusus surah-surah tertentu untuk diabaca), berzikir dengan zikir-zikir mathur dan berdoa.
Daripada Aisyah ra berkata: (Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban).

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Daripada hadith di atas kita juga disunnah memperbanyakkan puasa dalam bulan sya'baan TETAPI jangan kita mengkhususkan puasa pada nifsu syaa'ban dengan mengatakan sunnah untuk puasa pada nifsu syaa'ban.Hadith sahih hanya mengatakan sunnah untuk memperbanyakan puasa pada bulan sya'baan sahaja tiada hadith yang menyebut khusus tentang sunnah berpuasa pada nifsu sya'ban.
Jadi sesiapa yang hendak berpuasa pada hari nifsu sya'ban dengan niat aku berpuasa pada hari ini kerana nabi memperbanyakkan puasa pada bulan sya'ban maka sesunggunhnya dia telah mengikut sunnah.
TETAPI
Jika seseorang berpuasa pada hari nifsu sya'ban dengan niat aku berpuasa pada hari ini kerana nabi mengkhususkan puasa pada nifsu sya'baan maka sesungguhnya ini bukan sunnah daripada nabi dan amalan ini tertolak.

Tiada amalan-amalan khusus pada nifsu sya'ban


Tiada amalan-amalan khusus yang diajar nabi untuk dilakukan pada malam tersebut.Kita melihat banyak hadith-hadith lemah tentang amalan-amalan khusus pada malam nifsu sya'baan dan ia ditambahkan lagi dengan hadith-hadith palsu yang direka tentang amalan-amalan khusus pada malam tersebut.

Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi mengenai amalam-amalan khusus nisfu sya'baan:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Wahai pereka-pereka hadith ingatlah sesungguhnya kamu semua telah berdusta ketas nabi dengan hadith-hadith rekaan dan tulisan kamu, siaplah api neraka bagi kamu semua, hal ini berdasarkan hadith sahih dibawah :
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”

(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka)
Ulasan terhadap hadith palsu dan daif tentang amalan-amalan khusus pada malam nisfu Sya'baan

(1)
Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra:
(Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar)
ULASAN : Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

(2) Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar ra :

(Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’.

(Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128).
ULASAN : Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.

(3) Hadith yang diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata:

(Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya).
ULASAN :Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.

Hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih.

Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya.

Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.


Ulasan tokoh-tokoh Hadith


Al-Hafiz al-Iraqi berkata:

(Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw.

al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’:
Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama).

(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata:

(Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu).

(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya:

(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).

(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).

(Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan.

Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti:

(Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah).

(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

12 Ogos 2008

Puasa Nisfu Sya'ban

persoalan:

bolehkah kita berpuasa pada nisfu sya’ban? adakah puasa pada hari tersebut haram secara mutlak?

jawapan:

puasa pada 15 sya’ban (nisfu sya’ban) tidaklah haram secara mutlak.. semuanya tergantung kepada niat kita.. sekiranya kita berniat untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W sudah tentu nilainya lebih tinggi di sisi Allah.. namun, seandainya seseorang itu hanya berniat semata-mata kerana hari tersebut adalah Nisfu Sya’ban, maka amalannya akan tertolak..

Sabda Rasulullah S.A.W: “Setiap amalan tergantung pada niat, dan bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya, dan barang siapa berhijrah untuk dunia, dia akan memperolehinya atau (berhijrah) demi wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang diniatkannya.” - [Muttafaqun 'alaihi].

daripada hadits ini kita mendapat satu gambaran bahawa tidak semua amalan, sekali pun dilaksanakan dengan cara yang betul, akan diterima oleh Allah.. dikatakan hadits ini berkaitan dengan seseorang lelaki yang berhijrah, bukan kerana perintah dari Allah Ta’ala, tetapi kerana ingin berkahwin dengan seorang wanita.. ternyata hijrahnya tidak diterima, walau pun pelaksanaannya sudah tepat.. niatnya (untuk mengahwini seorang wanita, bukan benar-benar ikhlas kepada Allah) telah merosakkan pahala amalan tersebut..

satu contoh lain yang mungkin boleh memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kepentingan niat.. dua orang lelaki yang menyembelih ayam, salah seorang dengan niat untuk memberi anak dan isterinya makan, dan seorang lagi untuk dipersembahkan kepada jin (atau seumpamanya).. sudah tentu di sisi Allah, amalan kedua-dua orang ini mempunyai nilai yang berbeza.. walau pun kedua-dua ayam disembelih sesuai dengan ketetapan syara’, namun ayam yang disembelih untuk dipersembahkan kepada jin tetap haram.. penyembelihan secara syar’i tidak menghalalkan ayam tersebut, kerana tujuan ayam itu disembelih adalah untuk dipersembahkan kepada jin..

dalam urusan berpuasa pada tanggal 15 Sya’ban juga berlaku hal yang sama.. mungkin kita berpuasa sesuai dengan ketetapan syara’ (menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa, dll) namun amalan tersebut belum pasti akan diterima di sisi Allah..

seandainya niat kita untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W yang memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban, insya-Allah amalan tersebut akan diterima.. selain itu, berpuasa pada tanggal 15 bagi setiap bulan Islam juga merupakan sunnah Rasul.. sebentar tadi saya sempat membelek terjemahan kitab-kitab Sunan yang empat (Sunan At-Tirmidzi, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah), dan ternyata keempat-empat imam tersebut pernah meriwayatkan hadits mengenai anjuran Rasulullah supaya berpuasa pada 13, 14 dan 15 haribulan..

namun sekiranya niat anda berpuasa kerana anda dapat merasakan adanya suatu ganjaran yang besar sekiranya berpuasa pada Nisfu Sya’ban, saya katakan perkara tersebut tidak pernah disebut oleh Rasulullah S.A.W.. berhati-hatilah, semoga anda tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W:

“Barang siapa yang mereka-reka sesuatu dalam urusan kami yang ini (iaitu urusan agama), apa yang bukan daripadanya, nescaya ia tertolak” - [Muttafaqun 'alaihi].

semoga entry ringkas ini dapat menjawab persoalan yang dikemukakan.. wallahu a’lam..

Sumber:http://nasirussunnah.wordpress.com/2008/08/12/puasa-nisfu-syaban-bolehkah/

07 Ogos 2008

Bahaya Taklid Dalam Beribadat

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

RAMADAN adalah bulan rahmat sehinggakan remaja dan anak-anak kecil yang tidak selesa dipasak kakinya bersolat jemaah turut mesra dengan rumah Allah. Mereka rela menghabiskan masa perdana di masjid dan surau, walau tidak dinafikan adakalanya mereka turut menyulam solat dengan tawa dan gurau. Hakikatnya, itulah alam kanak- kanak.

Baru-baru ini, ketika memenuhi jemputan sebuah syarikat multinasional menyampaikan tazkirah Ramadan, saya diajukan dengan soalan yang cukup biasa kedengaran. Namun, minda saya tersentak dengan bunga dan buah yang diberi. Bayangkan, suatu insiden di sebuah masjid, seorang anak kecil dalam lingkungan usia tujuh tahun setia berdiri di sisi ayahnya.


Saat takbir mahu diangkat bagi memisahkan dunia dan akhirat (takbiratulihram), ketika itulah seorang lelaki berperawakan alim menegur. Si ayah dengan sopan menyatakan, dia mahukan anak itu berdiri di sisinya, kerana dengan cara itu hatinya lebih tenteram.

Bayangkanlah, jika si anak solat berjauhan beberapa saf di belakang, hatinya gusar tentang keselamatan anaknya. Rasa bimbang yang boleh membunuh khusyuknya dalam sembahyang.

Dalam suasana yang sepatutnya tenang menuju solat itulah, tiba-tiba lelaki yang berperawakan hebat itu menyerang. Dengan tegas dia menyatakan, saf kanak-kanak adalah di belakang. Dengan tegas juga dia menarik tangan si kecil ke belakang, sedang si ayah terkebil-kebil menyaksikan adegan.

Menurut pemuda yang bertanya kepada saya, dia amat terkejut dengan insiden berkenaan. Masjid yang sepatutnya menyaksikan ukhuwah bertautan, hampir terlerai dengan sebuah pertikaian.

Saya akur, majoriti masjid dan surau di negara ini kebanyakannya meletakkan tiga kategori saf. Saf paling hadapan adalah untuk golongan lelaki dewasa, saf pertengahan dikhaskan kepada anak-anak kecil (dalam jarak usia 5 tahun hingga 10 tahun) dan saf paling belakang adalah untuk wanita. Ada juga sesetengah masjid dan surau yang meletakkan saf wanita di sudut sebelah kiri atau di bahagian atas masjid mereka.

Saya pelik dengan ketetapan ini. Ada sesetengah masjid besar ’kian mengarut’ dalam tindakannya. Mereka meletakkan papan tanda ‘Kanak-kanak di bawah usia enam atau lima tahun dilarang memasuki dewan masjid’. Nampaknya, bukan wanita yang uzur kerana didatangi haid dan nifas sahaja ditegah mengunjungi rumah Allah, bahkan kaum ibu yang suci bersih daripada hadas besar juga dilarang sama. Bagi saya inilah konotasi arahan itu. Bagaimana seorang ibu muda yang mempunyai anak-anak kecil mampu mengunjungi masjid dan surau, jika anak-anak mereka dilarang memasukinya.

Saya menyusuri hadis-hadis nabi. Saya cuba mencari atau hakikatnya tercari-cari, apakah sandaran mereka yakni para jawatankuasa masjid melakukan sedemikian. Malangnya, pencarian saya hampir gagal menemui jawapan. Tiada satu nas yang sahih dan jelas, melarang anak-anak kecil untuk solat bersama kaum lelaki di dalam satu saf yang sama. Tidak ada istilah putus saf atau hilang pahala jemaah kerana mereka berdiri di sebelah kita. Yang ada, saya terjumpa dengan beberapa hadis yang menyatakan sebaliknya. Iaitu, Nabi Muhammad s.a.w meraikan anak-anak kecil di rumah Allah. Mereka adalah tetamu cilik yang sepatutnya diraikan, agar jiwa membugar dengan kesucian masjid, akhlak mereka membunga dengan keindahan masjid.

Dari Anas r.a telah berkata: “Aku pernah bersolat di rumah kami bersama seorang kanak-kanak yatim di belakang Nabi s.a.w dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami.” (Riwayat Bukhari).

Di samping itu, saya tertarik untuk menyatakan bahawa, apakah logiknya kita mengatakan saf terputus atau hilang pahala jamaah kerana kita diselangi oleh seorang kanak-kanak yang belum berkhatan. Mereka berhujah kononnya, di bawah kulup si anak kecil itu ada najis yang boleh membatalkan atau paling tidak merosakkan pahala saf dan jemaah mereka.

Apakah kita boleh mengatakan lelaki dewasa yang sudah tidak berkulup itu juga suci, jika pada badannya ada nanah yang dipekap atau dibebat dengan kain kemudian dia bersolat di sebelah kita.

Sebenarnya, kebanyakan umat Islam hari ini banyak meletakkan ‘taklid’ sebagai neraca di dalam panduan dalam beribadat. Sedari kecil, apabila belajar bab fikah, kita diajar terus kepada aspek hukum. Bagi saya, budaya taklid ini amat berbahaya. Ia ibarat tumor yang membiak dan akan menguasai akal fikir umat Islam yang waras.

* Penulis merupakan seorang pegawai perhubungan awam di salah sebuah institusi zakat di Malaysia.

03 Ogos 2008

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Soal kejelasan niat dalam sesuatu tindakan adalah rukun utama bagi segala gerakerja. Setelah akidah seseorang itu selamat dan sejahtera, Islam meletakkan syarat utama bagi setiap amalannya pula adalah niat yang betul. Nabi s.a.w bersabda: “Setiap amalan itu hanyalah berdasarkan niat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, amalan yang sama dihukum berbeza berdasarkan niat seseorang. Seseorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana tergelincir tidak sama kedudukannya di sisi Allah dengan seorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana ingin membunuh diri. Walaupun barangkali pada zahir mereka yang melihat mayat itu menyangka sama, di sisi Allah berbeza.

Adapun yang tergelincir dimaafkan Allah dan mungkin mendapat pahala jika dia berada di atas bangunan itu dengan tujuan yang baik, sementara yang membunuh diri telah melakukan dosa yang maha besar di sisi Allah. Namun niat yang jujur itu tidak berpada, jika cara yang dibuat itu tidak betul.

Jika si yang tergelincir tadi sengaja menempah cara yang membawa maut sedangkan ia boleh dielakkan, mati dia dianggap mencampakkan diri ke dalam kebinasaan yang diharamkan oleh Allah. Islam tidak mengiktiraf cara Robin Hood yang merompak dengan tujuan untuk bersedekah. Dalam soal politik, ekonomi, ibadah khusus dan selainnya, prinsip Islam adalah sama iaitu matlamat tidak menghalalkan cara.

Maka dalam Islam, setelah di syaratkan niat yang betul, amalan yang dianggap soleh atau yang dikira pahala dalam Islam ini mestilah caranya juga betul iaitu bertepatan dengan tunjuk ajar Allah dan al-Sunnah. Jika dalam persoalan ibadah khusus seperti solat, puasa, haji dan seumpamanya syarat yang kedua setelah niat seseorang itu baik adalah amalan yang diiktiraf betul itu berdasarkan ia pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Seseorang yang ikhlas niatnya, tetapi melakukan solat yang tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, maka itu dinilai salah dan menyanggahi sunnah. Umpamanya jika seorang mencipta solat baru atas apa-apa sempena atau nama seperti ‘solat turun harga minyak’ maka itu dianggap salah di sisi syarak, walaupun niatnya betul.

Justeru itu, tidak hairan jika para ulama membantah dengan begitu keras amalan-amalan ibadah yang baru direka yang tidak ada dalam hadis-hadis yang sahih. Tokoh dalam Mazhab al-Syaifi’i, Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) umpamanya ketika mengulas tentang Solat Raghaib, iaitu solat sunat khas yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, beliau begitu tajam membantah.

Ini dapat dilihat beliau ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim: Daripada Abi Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa. (Riwayat Muslim).

Kata al-Imam al-Nawawi: “Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada dengan malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadith ini mengenai kesalahan solat bid’ah yang dinamakan solat al-Raghaib. Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah yang munkar daripada jenis bid’ah yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya”. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211. Beirut: Dar al-Khair).

Demikian tokoh lain Mazhab al-Syafi’i al-Imam al-Sayuti (meninggal 910H) berkata: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib”. Katanya juga: “Ketahuilah sesungguhnya solat yang bid’ah ini menyanggahi kaidah-kaidah Islam dalam beberapa bentuk…”( Al-Sayuti, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ m.s 52. Beirut: Dar al-Fikr ).

Kita lihat mereka ini begitu tegas bahkan ayat mereka begitu perit dan keras dalam membantah amalan ibadah khusus yang tidak berasal daripada Nabi s.a.w. Tujuan mereka semua demi mengekalkan ketulenan agama wahyu, agar tidak berlaku campur tangan manusia. Firman Allah: (maksudnya) “Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat - mana-mana bahagian dari ugama mereka – apa yang tidak diizinkan oleh Allah?!. (Surah al-Syura: ayat 21).

Sabda Nabi S.A.W.: “Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya begitu tertarik dengan dialog antara al-Imam Malik dengan seorang yang ingin membuat amalan yang lebih baik daripada Nabi s.a.w. Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: “Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) dari mana aku patut berihram?. Jawabnya: “Daripada Zu Hulaifah di tempat yang Rasulullah berihram”.

Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari Masjid Nabi. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari kubur Nabi s.a.w.. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat, aku bimbang fitnah (kerosakan agama) menimpa kamu”.

Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya?!! Ia hanya jarak yang aku tambah. Jawab al-Imam Malik: “Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang RasululLah s.a.w yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (RasululLah s.a.w), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih (Surah al-Nur ayat 63)” (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s. 102 Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi)

Walaupun lelaki ini ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu masjid Nabi s.a.w, atau kubur baginda s.a.w, namun al-Imam Malik bin Anas membantahnya disebabkan ia ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan lelaki itu menganggap diri seakan dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi s.a.w.

Jelas, niat yang baik tidak memadai jika tidak berdasarkan petunjuk yang betul. Dalam soal muamalat atau kehidupan biasa agama begitu luas. Tidak begitu sempit seperti dalam soal ibadah khusus yang membabitkan solat, puasa, doa khusus dan seumpamanya. Namun begitu, janganlah dalam kealpaan kita menguruskan urusan dunia, maka perlaksanaan perkara-perkara yang baik dibuat dalam bentuk yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam.

Mengutip derma untuk anak yatim umpamanya memanglah baik tujuannya. Namun, jika caranya itu dengan membuat konsert yang menggalakkan anak muda ke arah unsur-unsur yang negatif maka itu tidak lagi dianggap baik. Ini kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Sebab itu saya membantah upacara tafakur dan menghormati Tugu Negara. Upacara itu tidak boleh untuk dilakukan oleh seorang muslim yang berpegang kepada akidah tauhid yang sebenar. Walaupun mungkin niatnya baik untuk mengenang para pahlawan kita, namun itu bukan caranya. Upacara itu mempunyai unsur keberhalaan yang jelas. Ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang bersih dari unsur kesyirikan.

Apa lagi hendak disifatkan satu upacara yang bertafakur, memberikan tabik hormat dan menyembahkan kalungan bunga jika tidak menyamai unsur keberhalaan. Tidakkah ini yang dilakukan dalam upacara agama-agama berhala? Jika pelaku upacara ini menyatakan dia tidak mempunyai sebarang iktikad atau niat bahawa tugu itu dapat memberikan manfaat atau mudarat melainkan sekadar upacara kosong semata, bererti pelakunya itu telah melakukan kerja yang sia-sia lagi bodoh. Juga ia tetap haram di sisi syarak kerana menyamai aktiviti agama penganut kesyirikan.

Jika pelaku upacara tersebut beranggapan perbuatan tersebut boleh mendatangkan keamanan dan ketenteraman kepada negara, atau kebahagiaan kepada ruh para pahlawan, maka keyakinan dan pelakuan itu membawa kesyirikan yang jelas. Lupakah kita apa yang Nabi Ibrahim a.s tegur kaumnya? Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya.Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah ini patung-patung ini yang kamu berdiri mengadapnya (memujanya)?.Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-Anbiya: ayat 51-54).

Fatwa-fatwa di peringkat beberapa negeri dan kebangsaan telah pun mengharamkan perbuatan ini. Malangnya ia dihidupkan kembali secara rasmi dan umat Islam mendiam diri. Saya mengambil risiko mengingatkan hal ini untuk seluruh umat Islam, terutama kepada jenerasi baru yang mula longgar pegangan akidah mereka.

Janganlah kerana mereka melihat hal ini dilakukan di peringkat atasan, lalu mereka menganggap ia tidak menjadi kesalahan dalam pegangan agama. Besok mungkin mereka juga akan pergi memberikan hormat atau sembahan kalungan bunga atau buah kepada mana-mana patung atau tugu atau pongsu yang dianggap mulia. Janganlah pula sesiapa yang memakai gelaran agama cuba untuk menjustifikasikan pula perbuatan tersebut. Jangan sampai pengampu atau penasihat ber’persen’ itu membawa rebah.

Lupakah kita kepada nama-nama berhala Kaum Nabi Nuh a.s. Firman Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran: (maksudnya) “Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr. Dan Sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan Yang demikian) janganlah Engkau (Wahai Tuhanku) menambahi orang-orang Yang zalim itu melainkan kesesatan jua” (Surah Nuh: ayat 23-24).

Dalam hadis al-Bukhari, Ibn ‘Abbas menyebut bahawa Wadd, Suwaa, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasr tersebut asalnya nama orang-orang soleh di kalangan Kaum Nuh. Apabila mereka meninggal, syaitan mengilhamkan kepada Kaum Nuh agar membuat patung-patung ditempatkan dalam majlis-majlis mereka. Patung-patung tersebut dinamakan dengan nama orang-orang soleh berkenaan. Lalu Kaum Nuh pun membuatnya tanpa disembah. Sehinggalah apabila matinya jenerasi tersebut dan pengetahuan pun sudah tiada, maka patung-patung itu pun disembah. (Riwayat al-Bukhari)

Demikianlah kadang-kala perkara-perkara yang membawa kepada natijah yang amat buruk itu bermula dengan niat yang kelihatannya baik. Ini disebabkan tidak meneliti hasil atau natijah sesuatu tindakan. Orang politik sukakan hasil segera untuk keuntungan politiknya. Kadang-kala mereka tidak sempat mendongak ke langit untuk memikirkan kesan tindakan mereka di masa hadapan.

Sedangkan Nabi s.a.w mengingatkan kita: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim)

Perlaksanaan niat yang baik, hendaklah dengan cara yang baik juga. Begitulah dalam isu-isu politik yang berbagai pada hari ini. Keghairahan mengubah lanskap politik itu hendaklah dengan niat yang baik dan caranya juga baik. Ramai orang mendakwa niatnya baik. Namun kita tidak tahu apa yang terselit dalam jantung hatinya. Cuma yang dapat lihat adalah tindakannya.

Tindakan itu biasanya dapat menafsirkan niat yang terpendam. Sama seperti penunjukkan konsert londeh seluar yang kononnya dikatakan bertujuan baik. Namun yang kita tahu caranya buruk, maka ia dinilai dengan nilaian yang buruk. Sekali lagi, kita bukan pengikut Robin Hood yang menghalalkan sebarang tindakan yang nyata bertentangan dengan etika yang betul hanya semata atas slogan atau kononnya niat yang betul.