12 Ogos 2008

Puasa Nisfu Sya'ban

persoalan:

bolehkah kita berpuasa pada nisfu sya’ban? adakah puasa pada hari tersebut haram secara mutlak?

jawapan:

puasa pada 15 sya’ban (nisfu sya’ban) tidaklah haram secara mutlak.. semuanya tergantung kepada niat kita.. sekiranya kita berniat untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W sudah tentu nilainya lebih tinggi di sisi Allah.. namun, seandainya seseorang itu hanya berniat semata-mata kerana hari tersebut adalah Nisfu Sya’ban, maka amalannya akan tertolak..

Sabda Rasulullah S.A.W: “Setiap amalan tergantung pada niat, dan bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya, dan barang siapa berhijrah untuk dunia, dia akan memperolehinya atau (berhijrah) demi wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang diniatkannya.” - [Muttafaqun 'alaihi].

daripada hadits ini kita mendapat satu gambaran bahawa tidak semua amalan, sekali pun dilaksanakan dengan cara yang betul, akan diterima oleh Allah.. dikatakan hadits ini berkaitan dengan seseorang lelaki yang berhijrah, bukan kerana perintah dari Allah Ta’ala, tetapi kerana ingin berkahwin dengan seorang wanita.. ternyata hijrahnya tidak diterima, walau pun pelaksanaannya sudah tepat.. niatnya (untuk mengahwini seorang wanita, bukan benar-benar ikhlas kepada Allah) telah merosakkan pahala amalan tersebut..

satu contoh lain yang mungkin boleh memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kepentingan niat.. dua orang lelaki yang menyembelih ayam, salah seorang dengan niat untuk memberi anak dan isterinya makan, dan seorang lagi untuk dipersembahkan kepada jin (atau seumpamanya).. sudah tentu di sisi Allah, amalan kedua-dua orang ini mempunyai nilai yang berbeza.. walau pun kedua-dua ayam disembelih sesuai dengan ketetapan syara’, namun ayam yang disembelih untuk dipersembahkan kepada jin tetap haram.. penyembelihan secara syar’i tidak menghalalkan ayam tersebut, kerana tujuan ayam itu disembelih adalah untuk dipersembahkan kepada jin..

dalam urusan berpuasa pada tanggal 15 Sya’ban juga berlaku hal yang sama.. mungkin kita berpuasa sesuai dengan ketetapan syara’ (menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa, dll) namun amalan tersebut belum pasti akan diterima di sisi Allah..

seandainya niat kita untuk mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W yang memperbanyakkan puasa di bulan Sya’ban, insya-Allah amalan tersebut akan diterima.. selain itu, berpuasa pada tanggal 15 bagi setiap bulan Islam juga merupakan sunnah Rasul.. sebentar tadi saya sempat membelek terjemahan kitab-kitab Sunan yang empat (Sunan At-Tirmidzi, Sunan Abu Dawud, Sunan An-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah), dan ternyata keempat-empat imam tersebut pernah meriwayatkan hadits mengenai anjuran Rasulullah supaya berpuasa pada 13, 14 dan 15 haribulan..

namun sekiranya niat anda berpuasa kerana anda dapat merasakan adanya suatu ganjaran yang besar sekiranya berpuasa pada Nisfu Sya’ban, saya katakan perkara tersebut tidak pernah disebut oleh Rasulullah S.A.W.. berhati-hatilah, semoga anda tidak termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W:

“Barang siapa yang mereka-reka sesuatu dalam urusan kami yang ini (iaitu urusan agama), apa yang bukan daripadanya, nescaya ia tertolak” - [Muttafaqun 'alaihi].

semoga entry ringkas ini dapat menjawab persoalan yang dikemukakan.. wallahu a’lam..

Sumber:http://nasirussunnah.wordpress.com/2008/08/12/puasa-nisfu-syaban-bolehkah/

07 Ogos 2008

Bahaya Taklid Dalam Beribadat

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

RAMADAN adalah bulan rahmat sehinggakan remaja dan anak-anak kecil yang tidak selesa dipasak kakinya bersolat jemaah turut mesra dengan rumah Allah. Mereka rela menghabiskan masa perdana di masjid dan surau, walau tidak dinafikan adakalanya mereka turut menyulam solat dengan tawa dan gurau. Hakikatnya, itulah alam kanak- kanak.

Baru-baru ini, ketika memenuhi jemputan sebuah syarikat multinasional menyampaikan tazkirah Ramadan, saya diajukan dengan soalan yang cukup biasa kedengaran. Namun, minda saya tersentak dengan bunga dan buah yang diberi. Bayangkan, suatu insiden di sebuah masjid, seorang anak kecil dalam lingkungan usia tujuh tahun setia berdiri di sisi ayahnya.


Saat takbir mahu diangkat bagi memisahkan dunia dan akhirat (takbiratulihram), ketika itulah seorang lelaki berperawakan alim menegur. Si ayah dengan sopan menyatakan, dia mahukan anak itu berdiri di sisinya, kerana dengan cara itu hatinya lebih tenteram.

Bayangkanlah, jika si anak solat berjauhan beberapa saf di belakang, hatinya gusar tentang keselamatan anaknya. Rasa bimbang yang boleh membunuh khusyuknya dalam sembahyang.

Dalam suasana yang sepatutnya tenang menuju solat itulah, tiba-tiba lelaki yang berperawakan hebat itu menyerang. Dengan tegas dia menyatakan, saf kanak-kanak adalah di belakang. Dengan tegas juga dia menarik tangan si kecil ke belakang, sedang si ayah terkebil-kebil menyaksikan adegan.

Menurut pemuda yang bertanya kepada saya, dia amat terkejut dengan insiden berkenaan. Masjid yang sepatutnya menyaksikan ukhuwah bertautan, hampir terlerai dengan sebuah pertikaian.

Saya akur, majoriti masjid dan surau di negara ini kebanyakannya meletakkan tiga kategori saf. Saf paling hadapan adalah untuk golongan lelaki dewasa, saf pertengahan dikhaskan kepada anak-anak kecil (dalam jarak usia 5 tahun hingga 10 tahun) dan saf paling belakang adalah untuk wanita. Ada juga sesetengah masjid dan surau yang meletakkan saf wanita di sudut sebelah kiri atau di bahagian atas masjid mereka.

Saya pelik dengan ketetapan ini. Ada sesetengah masjid besar ’kian mengarut’ dalam tindakannya. Mereka meletakkan papan tanda ‘Kanak-kanak di bawah usia enam atau lima tahun dilarang memasuki dewan masjid’. Nampaknya, bukan wanita yang uzur kerana didatangi haid dan nifas sahaja ditegah mengunjungi rumah Allah, bahkan kaum ibu yang suci bersih daripada hadas besar juga dilarang sama. Bagi saya inilah konotasi arahan itu. Bagaimana seorang ibu muda yang mempunyai anak-anak kecil mampu mengunjungi masjid dan surau, jika anak-anak mereka dilarang memasukinya.

Saya menyusuri hadis-hadis nabi. Saya cuba mencari atau hakikatnya tercari-cari, apakah sandaran mereka yakni para jawatankuasa masjid melakukan sedemikian. Malangnya, pencarian saya hampir gagal menemui jawapan. Tiada satu nas yang sahih dan jelas, melarang anak-anak kecil untuk solat bersama kaum lelaki di dalam satu saf yang sama. Tidak ada istilah putus saf atau hilang pahala jemaah kerana mereka berdiri di sebelah kita. Yang ada, saya terjumpa dengan beberapa hadis yang menyatakan sebaliknya. Iaitu, Nabi Muhammad s.a.w meraikan anak-anak kecil di rumah Allah. Mereka adalah tetamu cilik yang sepatutnya diraikan, agar jiwa membugar dengan kesucian masjid, akhlak mereka membunga dengan keindahan masjid.

Dari Anas r.a telah berkata: “Aku pernah bersolat di rumah kami bersama seorang kanak-kanak yatim di belakang Nabi s.a.w dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami.” (Riwayat Bukhari).

Di samping itu, saya tertarik untuk menyatakan bahawa, apakah logiknya kita mengatakan saf terputus atau hilang pahala jamaah kerana kita diselangi oleh seorang kanak-kanak yang belum berkhatan. Mereka berhujah kononnya, di bawah kulup si anak kecil itu ada najis yang boleh membatalkan atau paling tidak merosakkan pahala saf dan jemaah mereka.

Apakah kita boleh mengatakan lelaki dewasa yang sudah tidak berkulup itu juga suci, jika pada badannya ada nanah yang dipekap atau dibebat dengan kain kemudian dia bersolat di sebelah kita.

Sebenarnya, kebanyakan umat Islam hari ini banyak meletakkan ‘taklid’ sebagai neraca di dalam panduan dalam beribadat. Sedari kecil, apabila belajar bab fikah, kita diajar terus kepada aspek hukum. Bagi saya, budaya taklid ini amat berbahaya. Ia ibarat tumor yang membiak dan akan menguasai akal fikir umat Islam yang waras.

* Penulis merupakan seorang pegawai perhubungan awam di salah sebuah institusi zakat di Malaysia.

03 Ogos 2008

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Soal kejelasan niat dalam sesuatu tindakan adalah rukun utama bagi segala gerakerja. Setelah akidah seseorang itu selamat dan sejahtera, Islam meletakkan syarat utama bagi setiap amalannya pula adalah niat yang betul. Nabi s.a.w bersabda: “Setiap amalan itu hanyalah berdasarkan niat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, amalan yang sama dihukum berbeza berdasarkan niat seseorang. Seseorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana tergelincir tidak sama kedudukannya di sisi Allah dengan seorang yang jatuh dari bangunan tinggi kerana ingin membunuh diri. Walaupun barangkali pada zahir mereka yang melihat mayat itu menyangka sama, di sisi Allah berbeza.

Adapun yang tergelincir dimaafkan Allah dan mungkin mendapat pahala jika dia berada di atas bangunan itu dengan tujuan yang baik, sementara yang membunuh diri telah melakukan dosa yang maha besar di sisi Allah. Namun niat yang jujur itu tidak berpada, jika cara yang dibuat itu tidak betul.

Jika si yang tergelincir tadi sengaja menempah cara yang membawa maut sedangkan ia boleh dielakkan, mati dia dianggap mencampakkan diri ke dalam kebinasaan yang diharamkan oleh Allah. Islam tidak mengiktiraf cara Robin Hood yang merompak dengan tujuan untuk bersedekah. Dalam soal politik, ekonomi, ibadah khusus dan selainnya, prinsip Islam adalah sama iaitu matlamat tidak menghalalkan cara.

Maka dalam Islam, setelah di syaratkan niat yang betul, amalan yang dianggap soleh atau yang dikira pahala dalam Islam ini mestilah caranya juga betul iaitu bertepatan dengan tunjuk ajar Allah dan al-Sunnah. Jika dalam persoalan ibadah khusus seperti solat, puasa, haji dan seumpamanya syarat yang kedua setelah niat seseorang itu baik adalah amalan yang diiktiraf betul itu berdasarkan ia pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Seseorang yang ikhlas niatnya, tetapi melakukan solat yang tidak pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, maka itu dinilai salah dan menyanggahi sunnah. Umpamanya jika seorang mencipta solat baru atas apa-apa sempena atau nama seperti ‘solat turun harga minyak’ maka itu dianggap salah di sisi syarak, walaupun niatnya betul.

Justeru itu, tidak hairan jika para ulama membantah dengan begitu keras amalan-amalan ibadah yang baru direka yang tidak ada dalam hadis-hadis yang sahih. Tokoh dalam Mazhab al-Syaifi’i, Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) umpamanya ketika mengulas tentang Solat Raghaib, iaitu solat sunat khas yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, beliau begitu tajam membantah.

Ini dapat dilihat beliau ketika mensyarahkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim: Daripada Abi Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa. (Riwayat Muslim).

Kata al-Imam al-Nawawi: “Pada hadis ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada dengan malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadith ini mengenai kesalahan solat bid’ah yang dinamakan solat al-Raghaib. Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah yang munkar daripada jenis bid’ah yang sesat dan jahil. Padanya kemungkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya”. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211. Beirut: Dar al-Khair).

Demikian tokoh lain Mazhab al-Syafi’i al-Imam al-Sayuti (meninggal 910H) berkata: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib”. Katanya juga: “Ketahuilah sesungguhnya solat yang bid’ah ini menyanggahi kaidah-kaidah Islam dalam beberapa bentuk…”( Al-Sayuti, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ m.s 52. Beirut: Dar al-Fikr ).

Kita lihat mereka ini begitu tegas bahkan ayat mereka begitu perit dan keras dalam membantah amalan ibadah khusus yang tidak berasal daripada Nabi s.a.w. Tujuan mereka semua demi mengekalkan ketulenan agama wahyu, agar tidak berlaku campur tangan manusia. Firman Allah: (maksudnya) “Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat - mana-mana bahagian dari ugama mereka – apa yang tidak diizinkan oleh Allah?!. (Surah al-Syura: ayat 21).

Sabda Nabi S.A.W.: “Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya begitu tertarik dengan dialog antara al-Imam Malik dengan seorang yang ingin membuat amalan yang lebih baik daripada Nabi s.a.w. Seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: “Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) dari mana aku patut berihram?. Jawabnya: “Daripada Zu Hulaifah di tempat yang Rasulullah berihram”.

Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari Masjid Nabi. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram bermula dari kubur Nabi s.a.w.. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat, aku bimbang fitnah (kerosakan agama) menimpa kamu”.

Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya?!! Ia hanya jarak yang aku tambah. Jawab al-Imam Malik: “Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang RasululLah s.a.w yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (RasululLah s.a.w), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih (Surah al-Nur ayat 63)” (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s. 102 Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi)

Walaupun lelaki ini ingin berihram daripada tempat yang begitu baik iaitu masjid Nabi s.a.w, atau kubur baginda s.a.w, namun al-Imam Malik bin Anas membantahnya disebabkan ia ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. Beliau menyatakan ini adalah fitnah kerana seakan lelaki itu menganggap diri seakan dapat melakukan ibadah yang lebih baik daripada Nabi s.a.w.

Jelas, niat yang baik tidak memadai jika tidak berdasarkan petunjuk yang betul. Dalam soal muamalat atau kehidupan biasa agama begitu luas. Tidak begitu sempit seperti dalam soal ibadah khusus yang membabitkan solat, puasa, doa khusus dan seumpamanya. Namun begitu, janganlah dalam kealpaan kita menguruskan urusan dunia, maka perlaksanaan perkara-perkara yang baik dibuat dalam bentuk yang menyanggahi prinsip-prinsip Islam.

Mengutip derma untuk anak yatim umpamanya memanglah baik tujuannya. Namun, jika caranya itu dengan membuat konsert yang menggalakkan anak muda ke arah unsur-unsur yang negatif maka itu tidak lagi dianggap baik. Ini kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Sebab itu saya membantah upacara tafakur dan menghormati Tugu Negara. Upacara itu tidak boleh untuk dilakukan oleh seorang muslim yang berpegang kepada akidah tauhid yang sebenar. Walaupun mungkin niatnya baik untuk mengenang para pahlawan kita, namun itu bukan caranya. Upacara itu mempunyai unsur keberhalaan yang jelas. Ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang bersih dari unsur kesyirikan.

Apa lagi hendak disifatkan satu upacara yang bertafakur, memberikan tabik hormat dan menyembahkan kalungan bunga jika tidak menyamai unsur keberhalaan. Tidakkah ini yang dilakukan dalam upacara agama-agama berhala? Jika pelaku upacara ini menyatakan dia tidak mempunyai sebarang iktikad atau niat bahawa tugu itu dapat memberikan manfaat atau mudarat melainkan sekadar upacara kosong semata, bererti pelakunya itu telah melakukan kerja yang sia-sia lagi bodoh. Juga ia tetap haram di sisi syarak kerana menyamai aktiviti agama penganut kesyirikan.

Jika pelaku upacara tersebut beranggapan perbuatan tersebut boleh mendatangkan keamanan dan ketenteraman kepada negara, atau kebahagiaan kepada ruh para pahlawan, maka keyakinan dan pelakuan itu membawa kesyirikan yang jelas. Lupakah kita apa yang Nabi Ibrahim a.s tegur kaumnya? Firman Allah: (maksudnya) Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya.Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah ini patung-patung ini yang kamu berdiri mengadapnya (memujanya)?.Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-Anbiya: ayat 51-54).

Fatwa-fatwa di peringkat beberapa negeri dan kebangsaan telah pun mengharamkan perbuatan ini. Malangnya ia dihidupkan kembali secara rasmi dan umat Islam mendiam diri. Saya mengambil risiko mengingatkan hal ini untuk seluruh umat Islam, terutama kepada jenerasi baru yang mula longgar pegangan akidah mereka.

Janganlah kerana mereka melihat hal ini dilakukan di peringkat atasan, lalu mereka menganggap ia tidak menjadi kesalahan dalam pegangan agama. Besok mungkin mereka juga akan pergi memberikan hormat atau sembahan kalungan bunga atau buah kepada mana-mana patung atau tugu atau pongsu yang dianggap mulia. Janganlah pula sesiapa yang memakai gelaran agama cuba untuk menjustifikasikan pula perbuatan tersebut. Jangan sampai pengampu atau penasihat ber’persen’ itu membawa rebah.

Lupakah kita kepada nama-nama berhala Kaum Nabi Nuh a.s. Firman Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran: (maksudnya) “Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr. Dan Sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan Yang demikian) janganlah Engkau (Wahai Tuhanku) menambahi orang-orang Yang zalim itu melainkan kesesatan jua” (Surah Nuh: ayat 23-24).

Dalam hadis al-Bukhari, Ibn ‘Abbas menyebut bahawa Wadd, Suwaa, Yaghuth, Ya’uuq dan Nasr tersebut asalnya nama orang-orang soleh di kalangan Kaum Nuh. Apabila mereka meninggal, syaitan mengilhamkan kepada Kaum Nuh agar membuat patung-patung ditempatkan dalam majlis-majlis mereka. Patung-patung tersebut dinamakan dengan nama orang-orang soleh berkenaan. Lalu Kaum Nuh pun membuatnya tanpa disembah. Sehinggalah apabila matinya jenerasi tersebut dan pengetahuan pun sudah tiada, maka patung-patung itu pun disembah. (Riwayat al-Bukhari)

Demikianlah kadang-kala perkara-perkara yang membawa kepada natijah yang amat buruk itu bermula dengan niat yang kelihatannya baik. Ini disebabkan tidak meneliti hasil atau natijah sesuatu tindakan. Orang politik sukakan hasil segera untuk keuntungan politiknya. Kadang-kala mereka tidak sempat mendongak ke langit untuk memikirkan kesan tindakan mereka di masa hadapan.

Sedangkan Nabi s.a.w mengingatkan kita: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Riwayat Muslim)

Perlaksanaan niat yang baik, hendaklah dengan cara yang baik juga. Begitulah dalam isu-isu politik yang berbagai pada hari ini. Keghairahan mengubah lanskap politik itu hendaklah dengan niat yang baik dan caranya juga baik. Ramai orang mendakwa niatnya baik. Namun kita tidak tahu apa yang terselit dalam jantung hatinya. Cuma yang dapat lihat adalah tindakannya.

Tindakan itu biasanya dapat menafsirkan niat yang terpendam. Sama seperti penunjukkan konsert londeh seluar yang kononnya dikatakan bertujuan baik. Namun yang kita tahu caranya buruk, maka ia dinilai dengan nilaian yang buruk. Sekali lagi, kita bukan pengikut Robin Hood yang menghalalkan sebarang tindakan yang nyata bertentangan dengan etika yang betul hanya semata atas slogan atau kononnya niat yang betul.

31 Julai 2008

Amalan di bulan Sya'ban

Oleh : Sheikh Muhammad b Salih al-‘Uthaymin

Diriwayatkan oleh A’ishah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa keseluruhan bulan kecuali pada bulan Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dengan kerap di dalam bulan-bulan lain melainkan bulan Sha’ban.”

[Sahih al-BUkhari (1969) dan Sahih Muslim (1156)]


Hadith ini menekankan bahawa adalah Sunnah untuk kerap berpuasa di dalam bulan Sha’ban. Sha’ban adalah satu bulan yang perlu kita pilih untuk melakukan lebih banyak puasa sunat.Berpuasa pada hari-hari di dalam bulan Sha’ban adalah Sunnah.

A’ishah juga berkata: “Baginda sering berpuasa keseluruhan bulan Sha’ban”

[Sahih al-Bukhari (1970)]

Dia juga berkata: “Baginda sering berpuasa di dalam Bulan Sha’ban kecuali beberapa hari di dalamnya.”
[Sahih Muslim]

Usamah b Zayd berkata : Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa dengan lebih kerap seperti yang baginda lakukan di dalam bulan Sha’ban.

Aku bertanya mengapa Baginda berbuat demikian, dan Baginda menjawab: “Ini adalah bulan yang orang tinggalkan di antara bulan Rajab dan bulan Ramadhan. Sedangkan inilah bulan dimana amalan diangkat kepada Tuhan seluruh Alam, dan aku suka supaya amalan aku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”

[Musnad Ahmad (21735) dan Sunan al-Nasa’i (2357). Ibn Muflih berkata tentangnya di dalam al-Furu’ (3/120): “Ia mempunyai sanad yang baik”]

Menentukan 15 Sha’ban untuk berpuasa

Bukti yang dibawakan di atas adalah benar untuk keseluruhan bulan. Tidak ada hari atau-hari-hari tertentu di dalam bulan Sha’ban yang digalakkan secara khusus untuk berpuasa. Tidak ada kelebihan tertentu untuk berpuasa pada hari yang ke-15 bulan Sha’ban.

Terdapat satu hadith yang lemah berbunyi:

“Apabila pertengahan Sha’ban tiba, dirikanlah solat keseluruhan malam dan berpuasa keesokan harinya, kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut dan pada waktu terbenam matahari mengumumkan: ‘Adakah sesiapa yang memohon keampunanKu supaya Aku ampunkan? Adakah sesiapa yang memohon kecukupan dariKu supaya Aku cukupkan? Adakah sesiapa yang menghadapi kesukaran agar Aku dapat ringankan?? ...’ dan Dia terus bertanya sehingga terbit fajar.” [Sunan Ibn Majah (1388)]

Penulis al-Manar telah memastikan bahawa hadith ini bukan sahaja lemah, malah direka.

Beliau berkata:

Yang benar adalah hadith ini rekaan. Pada isnadnya terdapat Abu Bakr b ‘Abd Allah b. Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Ibn Abi Sabrah.

Ahmad b Hanbal dan Yahya b Ma’in telah mendedahkan bahawa beliau adalah pereka hadith. [Juga rujuk: Majmu’ al-Fatawa (5/266)]

Oleh kerana amalan mengkhususkan 15 Sha’ban untuk berpuasa tidak dapat dibuktikan dari mana-mana hadith yang sohih, maka ia adalah amalan yang tiada asasnya. Semua ulama’ sepakat bahawa hadith yang lemah dan direka-cipta tidak boleh dijadikan hujjah untuk amalan Ibadah.

Satu pengecualian kepada keadaan ini adalah apabila terdapat kes di mana hadith yang lemah mempunyai sokongan dari banyak jalan periwayatan yang lain sehingga menguatkannya ke tahap yang lebih baik. Dalam kes ini, ia boleh digunakan sebagai hujjah untuk melakukan amalan Ibadah asalkan ia tidak bercanggah dengan hadith yang lebih kuat.

Maka, menjadi suatu innovasi didalam beribadah (bid’ah) apabila mengkhususkan hari tertentu untuk berpuasa, kerana mana-mana perbuatan ibadah yang tidak mempunyai hujjah dari Sunnah adalah bid’ah didalam agama.

Ini tidak bermakna kita perlu mengelakkan diri dari berpuasa pada 15 Sha’ban. Ia seperti hari-hari lain di dalam bulan Sha’ban dan keumuman hadith yang menggalakkan berpuasa di dalam bulan Sha’ban adalah untuk kesemua hari di dalamnya. Apa yang salah adalah mempunyai niat untuk mengkhususkan hari tersebut (15 Sha’ban) untuk berpuasa.

Wallahu’alam.

30 Julai 2008

Benarkah 27 Rejab berlakunya Isra' Mi'raj?

Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah - www.hafizfirdaus.com

Tarikh 27 Rejab agak masyhur di kalangan umat Islam kerana ia adalah tarikh yang dikatakan berlakunya peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj. Pada malam itu dikatakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah di-Isra’ dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Kemudian baginda di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa ke arah langit, melepasi lapisan-lapisannya sehinggalah ke Sidrat al-Muntaha.

Saya tidak mengingkari peristiwa agung ini. Ia adalah salah satu mukjizat yang Allah Subhanahu wa Ta'ala kurniakan kepada hamba-Nya yang teristimewa, Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Allah mengkhabarkan peristiwa Isra’ dalam ayat pertama surah al-Isra’:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنْ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ.
Maha Suci Allah yang telah menjalankan (Isra’) hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Isra’ 17:01]

Allah mengkhabarkan peristiwa Mi’raj dalam ayat tiga belas hingga lapan belas surah al-Najm:
وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى (١٣) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى (١٤) عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى (١٥) إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَى (١٦) مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَى (١٧) لَقَدْ رَأَى مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَى (١٨).
Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidrat al-Muntaha, yang di sisinya terletak Syurga Jannah al-Makwa. (Nabi Muhammad melihat Jibrail dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa (Sidrat al-Muntaha) itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.
Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (pemandangan indah di situ yang dia diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda Tuhannya. [al-Najm 53:13-18]

Memang ada yang cuba mentakwil peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagai konon hanya merupakan mimpi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Alhamdulillah saya telah membantah takwilan ini dalam artikel Isra’ dan Mi’raj: Mukjizat Rasulullah Yang Kedua Terbesar. Ia dimuatkan dalam buku Membongkar Aliran Islam Liberal terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

Akan tetapi yang ingin saya buka untuk perbincangan adalah tarikh 27 Rejab itu sendiri. Jika dikaji ayat-ayat al-Qur’an di atas dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sahih, tidak ditemui penetapan tarikh 27 Rejab. al-Qur’an dan al-Sunnah hanya mengkhabarkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj tanpa mengkhabarkan tarikh ia berlaku.

Sebenarnya para ilmuan Islam, khasnya para ahli sejarah, juga tercari-cari tarikh sebenar berlakunya Isra’ dan Mi’raj. Secara pasti ia berlaku setelah lawatan dakwah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ke Ta‘if dan sebelum penghijrahan ke Madinah. Syaikh ‘Abd Allah bin ‘Abd al-‘Aziz al-Tuwaijiri telah menghimpun dua belas pandangan berkenaan tarikh Isra’ dan Mi’raj. Di antara dua belas pandangan tersebut, paling awal ia dikatakan berlaku lima tahun sebelum hijrah manakala paling lewat ia dikatakan berlaku enam bulan sebelum hijrah. [al-Bida’ al-Hauliyah (edisi terjemahan oleh Munirul Abidin atas judul Ritual Bid’ah Dalam Setahun; Darul Falah, Jakarta, 2003), ms. 291-292]

Adapun anggapan peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku pada bulan Rejab, ia telah ditolak oleh al-Imam Abu Syamah rahimahullah (665H). Beliau menegaskan: “Sebahagian ahli sejarah menjelaskan bahawa peristiwa Isra’ terjadi pada bulan Rejab. Akan tetapi mengikut sebahagian yang lain peristiwa Isra’ itu bukan terjadi pada bulan Rejab dan maklumat yang menjelaskan peristiwa itu terjadi pada bulan tersebut dianggap bohong.” [al-Baits ‘ala Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits (edisi terjemahan oleh Tazkiyatul Fikri & Kamaluddin Sa’diyatulharamain atas judul Bid’ah Yang Dibungkus Dengan Hadits Palsu; Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), ms. 174]

Justeru yang benar tidak ada penetapan tarikh bagi peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Tanpa adanya penetapan tersebut, bererti tiada juga apa-apa ibadah yang boleh dikaitkan dengan malam atau hari Isra’ dan Mi’raj. Seandainya Allah dan Rasul-Nya menginginkan kita – umat Islam – meraikan malam dan hari Isra’ dan Mi’raj dengan ibadah tertentu, nescaya akan dikhabarkan kepada kita melalui jalan yang sahih akan tarikh tersebut. Ini sepertimana sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hari pertama bulan Syawal dan sebagainya.

Menyentuh tentang ibadah, terdapat beberapa riwayat yang menerangkan keutamaan bersolat dan berpuasa sempena Isra’ dan Mi’raj. Akan tetapi riwayat-riwayat tersebut tidak ada yang bertaraf sahih atau hasan, bahkan ia bertaraf maudhu’ (palsu) dan dha’if jiddan (amat lemah) hingga tidak dapat dijadikan dalil mahupun sandaran anjuran beramal. Drs. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris rahimahullah (2000M) telah menghimpun riwayat-riwayat tersebut dan menerangkan kecacatannya dalam buku beliau Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ (Jilid 1 dan 2) yang diterbitkan oleh al-Hidayah, Kuala Lumpur.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) menerangkan: “Tidak diketahui dari seorang jua dari kalangan Muslimin bahawa dia menjadikan malam Isra’ keutamaan tersendiri atas malam-malam yang lain, lebih-lebih lagi atas malam al-Qadar (Lailatul Qadar). Para sahabat dan generasi tabi‘in yang dikenali dengan kebaikan mereka, pun tidak pernah mengkhususkan malam Isra’ dengan kegiatan tertentu. Bahkan mereka tidak memperingatinya. Oleh kerana faktor inilah sehingga tidak diketahui bila waktunya (atau tarikh peristiwa Isra’ dan Mi’raj).

Meskipun Isra’ termasuk keutamaan baginda yang sangat agung, namun tidak disyariatkan mengkhususkan waktu dan tempat tersebut dengan ibadah syar’i. Bahkan Gua Hira’ yang merupakan tempat awal turunnya wahyu dan selalu didatangi oleh baginda sebelum kenabian, tetap tidak dikunjungi oleh baginda mahupun para sahabat baginda setelah kenabian selama baginda tinggal di Mekah. Juga tidak dikhususkan waktu di mana wahyu turun dengan ibadah atau acara tertentu. Sebagaimana baginda tidak mengkhususkan tempat awal turunnya wahyu dan waktu (turunnya wahyu pertama) dengan aktiviti apapun.

Sesiapa yang mengkhususkan tempat dan waktu dengan ibadah atas dasar kemahuannya sendiri, hanya dengan dalih hal-hal seperti di atas, maka dia termasuk kategori ahli kitab yang menjadikan waktu bagi peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Nabi ‘Isa alaihis salam sebagai (penentu) acara-acara ritual dan ibadah. Seperti hari kelahiran, hari penyaliban dan peristiwa-peristiwa selainnya.” [Dinukil oleh al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah (757H) dalam Zaad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad (tahqiq: Muhammad Anwar al-Baltaji, Maktabah al-‘Asriyah, Beirut, 2000), jld. 1, ms. 37].

26 Julai 2008

Amalan di bulan Rejab

بسم الله الرحمن الرحيم
إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.
أما بعد؛

Segala puji bagi Allah Ta ‘ala yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita sebagai hamba-hambaNya. Di antara nikmat-nikmat tersebut ialah musim-musim ibadah yang diselang-selikan untuk hamba-hambaNya mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dari semasa ke semasa. Sebagai manusia, pastinya mempunyai macam-macam kelemahan. Akan tetapi pada masa yang sama, manusia juga mempunyai kecergasan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita telah diarahkan supaya menjaga masa dan menjaga hak-hak khaliq dan makhluk. Hadith Salman wajarlah menjadi pedoman kita dalam perkara ini. Kisah Salman dengan Abu Al-Darda’ adalah seperti berikut:
عن أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ آخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ سَلْمَانَ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً فَقَالَ لَهَا مَا شَأْنُكِ قَالَتْ أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا فَقَالَ كُلْ قَالَ فَإِنِّي صَائِمٌ قَالَ مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ قَالَ فَأَكَلَ فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ قَالَ نَمْ فَنَامَ ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ نَمْ فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ قُمْ الْآنَ فَصَلَّيَا فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [ صَدَقَ سَلْمَانُ.][1]
Maksudnya: Terdapat riwayat daripada Abu Juhfah katanya: Rasulullah r telah mempersaudarakan antara Salman dan Abu al-Darda’. Pada suatu hari Salman menziarahi Abu al-Darda’ dan dia melihat isteri Abu al-Darda’ tidak terurus. Salman bertanya kepadanya, “Kenapa kamu begini?” Isteri Abu al-Darda’ menjawab, “Saudaramu, Abu al-Darda’ tidak berhajat kepada dunia.” Apabila Abu al-Darda’ datang dan membuat hidangan untuk Salman, Salman mengajak beliau makan sekali. Abu al-Darda’ menjawab, “Saya Puasa.” Salman berkata, “Saya tidak akan makan jika kamu tidak makan.” Abu al-Darda’ pun makan bersama. Apabila tiba waktu tidur di permulaan malam, Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Salman menyuruhnya tidur, lalu beliau pun tidur. Tidak lama kemudian Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Sekali lagi Salman menyuruhnya tidur. Apabila sampai penghujung malam, Salman berkata, “Sekarang bangun.” Mereka pun bangun dan solat malam. Kemudian Salman berkata kepada Abu al-Darda’ “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap badanmu, tanggungajawab terhadap keluargamu; jadi hendaklah kamu melaksanakan tanggungjawab kamu kepada mereka semua.” Abu al-Darda’ kemudiannya pergi bertanya Rasulullah r tentang perkara ini lalu Baginda r berkata, “Benar kata Salman.”

Di samping itu kita juga mestilah mengetahui bahawa amalan yang terbaik di sisi Allah Ta‘ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.
وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ.[2]
Maksudnya: Sebaik-baik amalan di sisi Allah Ta'ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.

Semua ini mestilah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan menepati garis panduan yang telah diletakkan oleh Rasulullah s.a.w. Sebagaimana yang kita semua maklum, al-Ikhlas dan menepati al-Sunnah adalah dua syarat penerimaan amalan kita di sisi Allah Ta‘ala selepas wujud keimanan. Perkara pertama adalah amat penting. Sesuatu amalan yang tidak disulami al-Ikhlas akan tinggal amalan yang kering dan tidak bermaya. Penelitian terhadap sirah dan sejarah para ulamak akan banyak membantu individu muslim untuk menerapkan sifat mulia ini di dalam kehidupan hariannya.

Selepas memastikan kewujudan al-Ikhlas, datanglah giliran al-Sunnah untuk diterapkan dalam kehidupan kita. Apabila melihat kepada al-Sunnah pastilah perbincangan di sini menjurus kepada dua perkara iaitu kesahihan hadith dan ikutan terhadapnya. Orang yang mahir dalam disiplin hadith akan digelar ‘Sahibu hadith’ manakala orang yang menitik-beratkan ikutan terhadap hadith akan digelar ‘Sahibu sunnah.’ Apapun gelarannya, kedua-duanya amat diperlukan oleh kita di Malaysia khususnya dan di Nusantara umumnya.

Di dalam lembaran-lembaran berikut, perbincangan akan dihalakan kepada tuntutan al-Sunnah dalam tiga bulan tertentu iaitu bulan Rejab, Sya‘ban dan Ramadhan. Secara umumnya, bersesuaian dengan tajuk perbincangan, kita akan menekankan amalan-amalan yang disinari cahaya al-Sunnah. Amalan-amalan yang ditutup oleh kegelapan al-Bid‘ah pula hanya akan disentuh secara ringkas sahaja. Ini semua dilakukan berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadith-hadith Nabi s.a.w. serta pandangan-pandangan para ulamak yang muktabar.

Semoga perbincangan yang serba ringkas dapat sedikit-sebanyak membantu kita di dalam beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w. serta memartabatkannya di dalam kehidupan seharian kita demi untuk membuktikan ketulusan cinta kita kepada Allah Ta‘ala, Tuhan sekelian alam. Allah jualah yang dipohon agar memberi kita ganjaran yang berlipat ganda dan mengampunkan kesilapan-kesilapan kita di dalam usaha ini. Amin.





1- Tuntutan al-Sunnah: Rejab.

Berkenaan dengan bulan Rejab, sebenarnya tidak terdapat dalil-dalil yang menentukan kelebihan bulan ini. Justeru, dapatlah diringkaskan bahawa bulan ini samalah dengan bulan-bulan lain. Untuk mendapat gambaran ringkas tentang tuntutan al-Sunnah di dalam bulan ini perhatikanlah kenyataan-kenyataan berikut:

1- al-Quran menjelaskan bahawa bulan Rejab adalah salah satu daripada al-Ashhur al-Hurum (bulan-bulan haram). Firman Allah Ta‘ala (al-Taubah 9:36):
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَةِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ [3]
Maksudnya: Sesungguhnya waktu telah kembali seperti keadaannya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Satu tahun mempunyai 12 bulan. Di kalangannya 4 bulan haram, 3 berterusan; Zul Qi‘dah, Zul Hijjah dan al-Muharram serta Rejab kabilah Mudar di antara Jumada dan Sya‘ban.

2- Tiada solat khas dalam bulan Rejab:
وقال النووي رحمه الله تعالى "واحتج به العلماء على كراهة هذه الصلاة المبتدعة التي تسمى الرغائب قاتل الله واضعها ومخترعها فإنها بدعة منكرة من البدع التي هي ضلالة وجهالة وفيها منكرات ظاهرة وقد صنف جماعة من الأئمة مصنفات نفيسة في تقبيحها وتضليل مصليها ومبتدعها ودلائل قبحها وبطلانها وتضلل فاعلها أكثر من أن تحصر" [4]
Maksudnya: Imam al-Nawawi telah berkata ‘Para ulamak telah berhujjah dengannya ke atas kebencian solat yang yang bid‘ah ini yang dinamakan al-Raghaib. Semoga Allah memerangi pemalsunya dan penciptanya. Sesungguhnya ia adalah bid‘ah yang munkar yang terdiri daripada bid‘ah-bid‘ah yang sesat dan kejahilan. Di dalamnnya terdapat kemungkaran yang jelas. Sekumpulan para ulamak telah menulis tulisan-tulisan yang bermutu dalam memburukkannya dan menyesatkan orang yang bersolat dengannya dan menciptanya. Dalil-dalil berkenaan kekejiannya, kebatilannya dan kesesatan pembuatnya amat banyak sehingga tidak terbilang.

وقال الحافظ ابن رجب رحمه الله تعالى " فأما الصلاة فلم يصح في شهر رجب صلاة مخصوصة تختص به والأحاديث المروية في فضل صلاة الرغائب في أول جمعة من شهر رجب كذب وباطل لا تصح وهذه الصلاة بدعة عند جمهور العلماء ... وأول ما ظهرت بعد الأربعمائة فلذلك لم يعرفها المتقدمون ولم يتكلموا فيها " ا.هـ( لطائف المعارف / 228) .
Maksudnya: Berkenaan dengan solat, di dalam bulan Rejab tidak terdapat solat yang khas untuk bulan ini. Hadith-hadith yang diriwayatkan berkenaan kelebihan solat al-Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah penopuan dan batil serta tidak sah. Solat ini adalah bid‘ah di sisi kebanyakan ulamak… Kali pertama solat ini muncul ialah selepas tahun 400. Oleh sebab itulah ianya tidak diketahui oleh ulamak terdahulu dan mereka tidak membincangkannya.

3- Berpuasa di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
قال ابن القيم "كل حديث في ذكر صوم رجب وصلاة بعض الليالي فيه فهو كذب مفترى"[5]
Maksudnya: Semua hadith yang menyatakan puasa bulan Rejab dan solat sebahagian malam-malamnya adalah penipuan yang direka.
وقال الحافظ ابن حجر " لم يرد في فضل شهر رجب ولا في صيامه ولا صيام شيء منه معيَّن ولا في قيام ليلة مخصوصة فيه حديث صحيح يصلح للحجة " ا.هـ تبيين العجب / 11 ( وأنظر : لطائف المعارف /228 )
Maksudnya: Tidak terdapat hadith sahih yang boleh dijadikan hujah berkenaan kelebihan bulan Rejab, puasa bulan ini, puasa hari-hari tertentu bulan ini mahupun bangun malam tertentu pada bulan ini.

4- Membuat umrah di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
Setakat ini, penulis masih belum berjumpa dengan hadith sahih yang menerangkan kelebihan umrah di bulan Rejab. Ya, terdapat beberapa riwayat golongan Syi‘ah yang mengatakan umrah bulan Rejab adalah umrah yang terbaik. Akan tetapi Ahl al-Sunnah tidak menerima periwayatan mereka di samping riwayat tersebut tidak bersambung kepada Rasulullah s.a.w.

5- Malam al-Isra’ wal-Mi‘raj tidak sah pada malam ke 27 bulan Rejab:
قال الحافظ ابن كثير الدمشقي رحمه الله تعالى: (وقد أورد-أي عبدالغني المقدسي- حديثاً لا يـصـحّ سـنـــده ذكرناه في فضائل شهر رجب أن الإسراء كان ليلة السابع والعشرين من رجب والله أعلم. ومن الناس من يزعم أن الإسراء كان أول ليلة جمعة من شهر رجب, وهي ليلة الرغائب التي أُحدثت فيها الصلاة المشهورة, ولا أصل لذلك والله أعلم) [6]
Maksudnya: al-Imam Ibnu Kathir telah berkata (Abdul Ghani al-Maqdisi telah meriwayatkan sebuah hadith yang tidak sah sanadnya dan kami telah jelaskan dalam ‘Fadail Shahr Rajab’ bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada malan ke-27 bulan Rejab, Allah jua yang lebih mengetahui. Ada juga di antara manusia yang menyangka bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada Jumaat pertama dalam bulan Rejab, iaitulah malam al-Raghaib yang dicipta padanya solat yang masyhur, sedangkan tiada asal bagi perkara ini, Allah jua yang lebih mengetahui.)

Kesimpulannya, amalan-amalan di bulan Rejab adalah sama seperti amalan-amalan di bulan-bulan lain. Perkara yang membezakannya ialah bulan ini tergolong dalam bulan-bulan haram yang mana kezaliman dan peperangan tanpa sebab amat dimurkai oleh Allah Ta’ala berbanding dengan bulan-bulan lain.

[1] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Aqsama ‘ala Akhihi Liyuftir, No. 1832.
[2] HR al-Bukhari, No. 5523. Juga Muslim, No. 782.

[3] HR al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Hajjah al-Wida’, No. 4054. Juga Muslim, Kitab al-Qasamah Wa al-Muharibin Wa al-Qisas Wa al-Diyat, BabTaghliz Tahrim al-Dima’ Wa al-A‘rad Wa al-Amwal, No. 3179.
[4] Sila lihat al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Jil. 8 Hlm. 20.
[5] Sila lihat Ibnu al-Qayyim, al-Manar al-Munif, Hlm. 96.
[6] Sila lihat Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jil. 3 Hlm. 136-137.
[7] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Saum Sya‘ban, No. 1834. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Siyam al-Nabi s.a.w. Fi Ghair Ramadhan Wa Istihbab An La Yukhliya Shahran ‘An Saum, No. 1957.
[8] HR Ibnu Abi ‘Asim, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1144.
[9] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah al-Saum Fi al-Nisf al-Thani Min Sya‘ban Li Hal Ramadhan, No. 669.
[10] HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Taqaddamu Ramadhan Bi Saum Yaum Wa La Yaumain, No. 1912.
[11] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah Saum Yaum al-Syak, No. 622. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud, No. 686.

25 Julai 2008

seminar sifat solat nabi


Seminar Sifat Solat Nabi
Tarikh:30 Julai 2008
Tempat:Masjid FK Trisakti
Masa:9.00 pagi
Semua dijemput hadir......masuk PERCUMA!
Persoalan yang bakal dibincangkan:
1)Cara solat Nabi SAW dan kepentingannya
2)Persoalan tentang mazhab
3)Lafaz niat solat
4)Air musta'mal
dan sebarang kemusykilan anda berkaitan solat......